Ikuti Kami:

‘Hela Nafasku’ Tanda Kebangkitan Cradle Dalam Dunia Rock Tempatan

‘Hela Nafasku’ Tanda Kebangkitan Cradle Dalam Dunia Rock Tempatan

Selepas hampir dua dekad menyepi, kumpulan rock alternatif legenda, Cradle, kembali mewarnai dunia muzik tempatan dengan pelancaran album studio baharu berjudul Hela Nafasku, menandakan kebangkitan semula band yang pernah menggegarkan era 90-an dengan aliran grunge dan rock berjiwa Nusantara.

Album baharu itu dihasilkan selepas dua tahun pembikinan dan menjadi simbol perjalanan baharu Cradle yang kini memasuki usia tiga dekad dalam industri muzik.

Diterajui oleh pengasasnya, Addy Rasidi (gitar utama), Cradle kini tampil dengan barisan anggota baharu terdiri daripada Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (pemain bes) dan Adha Lizam (pemain dram).

Menurut Addy, Hela Nafasku bukan sekadar kemunculan semula, sebaliknya manifestasi semangat perjuangan Cradle yang tidak pernah padam.

“Album ini membawa makna besar buat kami. Ia bukan sekadar kembalinya Cradle, tetapi kesinambungan legasi yang kami bina sejak 1995. Walaupun dunia muzik kini lebih cenderung kepada single, kami mahu buktikan album penuh masih punya roh dan nilai seni tersendiri,” katanya.

Dirakam di Studio 47, Singapura dan Sonic Studio, Malaysia, Hela Nafasku memuatkan 11 lagu baharu, antaranya hasil ciptaan Addy dan Eiz sendiri.

Addy turut bertindak sebagai Produser Album, Pengarah Artistik dan Penyusun Muzik, dengan Lisa Ang sebagai Penerbit Eksekutif bersama beliau. Album ini diterbitkan di bawah label Rasa Karya, milik Datuk Ramli Sarip yang turut bertindak sebagai Penasihat Eksekutif.

Addy turut berkongsi kisah perjalanan membentuk semula Cradle yang penuh liku, termasuk mencari barisan anggota baharu yang sejiwa.

“Ketika mula masuk studio, hanya saya dan Eiz yang kekal. Pertemuan dengan Zul berlaku secara kebetulan dan tanpa diduga, dia bersetuju menyertai kami.”

“Adha pula, yang masih muda, membawa tenaga segar dan semangat luar biasa. Selepas hampir berputus asa menunggunya, dia kembali dengan komitmen yang akhirnya melengkapkan Cradle versi baharu,” katanya.

Cradle sebelum ini pernah mencipta sejarah menerusi album sulung Gurindam Keluli (1996) dan Ceritera Awan (2008), dengan lagu Ayu yang dinobat sebagai Lagu Terbaik dan Album Terbaik Tahun 2008 di Anugerah Planet Muzik.

Sementara itu, vokalis baharu Cradle, Eiz Mohd, yang sebelum ini dikenali menerusi projek kumpulan Gerilia dan pernah membuat persembahan bersama Exists, menyifatkan penyertaannya dalam Cradle sebagai satu penghormatan besar.

“Cradle punya identiti unik yang tidak mudah ditiru. Kami mahu terus membawa muzik yang jujur, berwarna dan berakar dalam budaya Nusantara. Hela Nafasku ialah lambang semangat baharu Cradle untuk terus hidup dalam jiwa peminat,” ujarnya.

Sebagai meraikan pelancaran Hela Nafasku, Cradle bakal mengadakan showcase istimewa Cradle Live! pada 14 November ini di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur, anjuran Rasa Karya yang turut menampilkan Datuk Ramli Sarip sebagai tetamu istimewa.

Tiket berharga RM250 (VIP) dan RM160 (termasuk bufet makan malam) boleh didapati menerusi laman sesawang www.iLassoTickets.com/cradlelive atau menghubungi hotline +6011-13297822.

Komen
Loading...