Ikuti Kami:

Healing Nite 2026: Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah Ajak Peminat ‘Reset’ Emosi Di Stadium Merdeka

Healing Nite 2026: Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah Ajak Peminat ‘Reset’ Emosi Di Stadium Merdeka

Memasuki tirai tahun baharu, tiga ikon seni suara negara, Anuar Zain, Ella, dan Dayang Nurfaizah menyifatkan penganjuran konsert Healing Nite 2026 sebagai medium terbaik buat peminat melakukan ‘reset’ emosi dan minda.

Dijadualkan berlangsung di lokasi ikonik Stadium Merdeka pada 24 Januari ini, acara berkenaan bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya diangkat sebagai sebuah pengalaman terapeutik yang menyatukan elemen kesejahteraan jiwa dan hiburan eksklusif.

Penyanyi lelaki tersohor, Anuar Zain berkata, beliau melihat penganjuran ini sebagai peluang untuk peminat memulakan sesuatu yang baharu dengan semangat yang lebih segar melalui pengaruh muzik yang positif.

“Muzik boleh menjadi salah satu terapeutik terbaik kerana ia mampu meningkatkan emosi positif dan menghilangkan tekanan. Saya menyifatkan penganjuran ini sebagai ‘fresh start effect’, di mana kita melepaskan bebanan lama dan membina niat baharu saat melangkah ke tahun 2026,” katanya.

Senada dengan beliau, Ratu Rock Negara, Ella, mahu peminat menggunakan platform ini untuk melepaskan segala tekanan yang dipendam sepanjang tahun lalu.

“Mungkin ramai yang penat bekerja atau hilang keyakinan diri. Jadi, mari kita lepaskan semua tenaga negatif itu menerusi lagu-lagu yang bakal dipersembahkan nanti. Ella tunggu anda semua untuk kita ‘healing’ bersama,” ujarnya.

Sementara itu, Dayang Nurfaizah pula menekankan kepentingan menikmati hiburan dengan cara yang sihat. Menurutnya, mendengar muzik dan menyanyi bersama adalah satu bentuk senaman ringan yang mampu memberikan ketenangan.

“Awal tahun adalah masa terbaik untuk kita menarik semua perkara positif. Jika anda mencari hiburan yang mempunyai elemen pemulihan diri, Healing Nite 2026 adalah jawapannya,” tambah penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu.

Selain tiga nama besar negara, konsert anjuran Kembar Nusantara Sdn Bhd bersama sokongan Creative Page dan Yumeca Sdn Bhd ini turut menampilkan bintang sensasi Indonesia, Lyodra serta kumpulan popular, Kangen Band.

Keunikan konsert ini turut dimeriahkan dengan kewujudan Healing Tent seawal jam 1.00 petang di pintu masuk utama stadium.

Ruang transisi itu bakal menawarkan pelbagai aktiviti santai termasuk kolaborasi kulinari autentik seperti LADO, Cartel Coffeeshop, dan perkhidmatan Teratak Spa bagi memanjakan pengunjung sebelum konsert bermula pada jam 8.45 malam.

Tiket bagi menikmati malam penuh emosi ini ditawarkan bermula pada harga RM190 dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web www.ticket2u.com.my.

Komen
Loading...