Healing Night 2026: Ella, Anuar Zain, Dayang, Lyodra & Kangen Band Satu Pentas, Satu Jiwa
- oleh MDaily Editor
- 21 Oct 2025 5:45 pm
Mengangkat konsep healing atau pemulihan diri yang semakin mendapat perhatian masyarakat dunia, penganjuran konsert berskala besar Healing Night 2026 bakal menyatukan lima penghibur ternama dari Malaysia dan Indonesia di bawah satu pentas di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Januari 2026.
Acara istimewa yang bakal berlangsung jam 8 malam itu dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd dan Yumeca Sdn Bhd yang bertanggungjawab terhadap strategi, pemasaran serta penglibatan pengguna.
Healing Night 2026 bukan sekadar sebuah konsert hiburan tetapi juga satu keraian berunsur positif yang menggabungkan muzik sebagai bentuk terapi atau pengalaman terapeutik buat para penonton.

Ia menampilkan barisan penghibur hebat seperti Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah dari Malaysia serta Kangen Band dan Lyodra dari Indonesia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz, konsep healing diterapkan bagi mengangkat muzik sebagai satu bentuk terapi yang mampu menyentuh hati dan memberi ketenangan.
“Selepas pandemik, ramai memilih fasa pemulihan diri dengan pelbagai cara. Kami percaya muzik adalah medium terbaik untuk proses healing kerana ia menyatukan manusia melalui emosi dan semangat positif. Healing Night 2026 bukan sekadar konsert biasa tetapi pesta muzik yang memberi ketenangan jiwa,” katanya.

Beliau berkata acara ini turut menampilkan elemen unik seperti reka bentuk pentas berkonsepkan kesejahteraan, ruang rehat khas dan aktiviti bertema seperti healing tents serta relaxation zones bagi mencipta suasana mendamaikan.
Penganjuran konsert ini turut menerima sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang melihat Healing Night 2026 sebagai inisiatif memperkukuh hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia serta mempromosikan budaya negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharudin berkata acara seperti ini berperanan penting dalam memperkenalkan keunikan seni dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Healing Night 2026 membuktikan keupayaan syarikat tempatan mengetuai acara berskala besar bertaraf dunia selain memperkukuh semangat perpaduan budaya antara dua negara serumpun,” katanya.
Sementara itu, ratu rock negara Ella melahirkan rasa teruja kerana dapat menyertai penganjuran yang dianggap segar dan bermakna dalam dunia hiburan tempatan.
“Konsep Healing Night 2026 sangat istimewa kerana bukan hanya menekankan aspek hiburan tetapi juga kesejahteraan mental dan emosi. Saya tidak sabar berkongsi pentas bersama Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Kangen Band dan Lyodra untuk memberikan pengalaman muzik yang berbeza,” katanya.

Konsert yang mengangkat tema penyatuan jiwa dan semangat Nusantara ini dijangka menjadi acara pembuka tirai 2026 yang penuh makna buat peminat muzik kedua-dua negara.
Healing Night 2026 turut disokong oleh rakan rasmi Audi dan St. Regis serta rakan media Astro, ERA dan Sinar FM.
Tiket berharga bermula dari RM190 boleh didapati melalui www.ticket2u.com.my.




