HBL Labur RM25 Juta, Carousel & Co. Kini Dibuka di Avenue K
- oleh MDaily Editor
- 29 Jan 2026 11:18 pm
Sektor pelancongan Kuala Lumpur menerima suntikan baharu menerusi pembukaan rasmi Carousel & Co., sebuah pusat hiburan sosial dan santapan bertema karnival di aras bumbung pusat beli-belah Avenue K.
Pelaburan bernilai RM25 juta oleh peneraju permainan kemahiran global yang berpangkalan di United Kingdom, HB Leisure (HBL), menyaksikan pengenalan konsep competitive socialising pertama kumpulan itu di Malaysia, sekali gus menjadikannya batu loncatan bagi pengembangan di rantau ini.
Majlis perasmian itu dihadiri Penolong Pengarah Tourism Malaysia (Pejabat Wilayah Tengah), Cik Nurhuda Dini Mohd Nasir, yang menyifatkan pembukaan tarikan itu sebagai tepat pada masanya bagi menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Tarikan seperti Carousel & Co. menambah nilai kepada kawasan KLCC dengan menggalakkan pelawat meluangkan lebih banyak masa di pusat bandar dan melanjutkan aktiviti malam mereka. Ini secara tidak langsung menyokong VM2026 dengan memperkukuh tawaran hiburan di ibu kota,” katanya.
Berkeluasan 18,000 kaki persegi, Carousel & Co. menggabungkan sembilan permainan kemahiran gergasi yang dilengkapi teknologi terkini, termasuk permainan klasik karnival seperti Pearl, Corn Cascade, Hoop Hustle dan Feeding Frenzy.
Ketua Konsep Baharu HBL, Greg Pearn berkata, Kuala Lumpur dipilih sebagai pasaran pelancaran kerana potensi pertumbuhannya yang dinamik selain menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.

“Kami mahu membina sesuatu yang memberi alasan kukuh kepada orang ramai untuk keluar lebih lama. Carousel & Co. adalah mengenai keseronokan dewasa, minuman berani dan persaingan sihat yang membuatkan tetamu mahu mencuba ‘satu lagi pusingan’,” jelasnya.
Terletak secara strategik di atas stesen LRT KLCC, premis ini menyasarkan pekerja kota, pelancong serta kumpulan korporat yang mencari alternatif kepada format makan malam biasa. Harga tiket bermula dari RM60 untuk dewasa, dengan had umur disyorkan 18 tahun ke atas.
Pembukaan ini turut menandakan komitmen jangka panjang HBL di Malaysia selepas memulakan operasi permainan kemahiran pertamanya di Asia menerusi LEGOLAND® Malaysia sebelum ini.




