Ikuti Kami:

Hazama Kembali dengan PUJANGGA Selepas 11 Tahun

Hazama Kembali dengan PUJANGGA Selepas 11 Tahun

Setelah lebih sedekad, Hazama Ahmad Azmi, ikon muzik tempatan yang juga juara Akademi Fantasia musim kesembilan, kembali menghiasi persada seni dengan album studio terbarunya yang dinanti-nantikan, PUJANGGA.

Album kedua ini menandakan kemunculan semula Hazama selepas pelancaran album sulungnya pada tahun 2013, memberikan hadiah istimewa kepada peminat yang setia menanti.

Mengulas tentang PUJANGGA, Hazama menjelaskan bahawa judul album ini diambil daripada maksud seorang penglipur lara atau ahli fikir, mencerminkan tema keseluruhan karya dalam album ini. Melodi dan lagu-lagunya digarap penuh seni di Royale Chulan, Cherating.

“Karya dalam PUJANGGA membawa cerita, syair, dan puisi yang ingin saya sampaikan dengan cara yang autentik. Saya mahu berpujangga melalui karya saya,” kata Hazama.

Ketika ramai penyanyi lebih cenderung menerbitkan lagu secara tunggal, Hazama tampil berani dengan mempersembahkan sebuah album penuh yang memuatkan 10 buah lagu.

“Saya mahu PUJANGGA menjadi sejarah dalam karier saya sebagai penyanyi, pemuzik, dan penerbit. Ini bukan hanya sebuah album tetapi warisan yang saya tinggalkan,” tambahnya.

Album ini merupakan hasil usaha kolaboratif yang melibatkan HazamaWorks Sdn. Bhd. dan Silent Kaiju Studio sebagai pengarah projek. Rakaman vokal, mixing, dan mastering dilakukan di KPRO Studio, dengan sebahagian konsep album dirakam di Tokyo, Jepun.

PUJANGGA juga mendapat sokongan dana dari MyCreative Venture Sdn. Bhd., diselia oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Hazama turut dibantu oleh isterinya, Genervie Kam, serta Zimi sebagai penolong penerbit, memastikan setiap elemen album mencapai piawaian tinggi.

Hazama menyifatkan PUJANGGA sebagai projek yang merangkum perjalanan karier dan jiwanya dalam muzik.

Dua lagu dalam album ini, Di Mimpiku dan Semacam Pandora, telah diberi sedikit gambaran di platform media sosial, memberi bayangan kepada peminat mengenai keunikan karya baharu ini.

“Harapan saya, jeda panjang antara album Penglipurlara dan PUJANGGA mampu mengubat kerinduan peminat terhadap karya saya,” ujarnya.

PUJANGGA akan dipasarkan secara rasmi oleh Sony Music, memberikan sentuhan terakhir kepada perjalanan Hazama dalam menghadirkan sebuah karya seni yang akan kekal relevan sepanjang masa.

Komen
Loading...