Havoc Food Festival Terbesar di Malaysia, Cipta Rekod Malaysia Book Of Records
- oleh Mohd Indera
- 11 Aug 2025 12:08 pm

Havoc Event & Management Sdn. Bhd. melakar sejarah apabila Havoc Food Festival (HFF) diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Largest Food Festival Tour Malaysia”, menjadikannya festival makanan bersiri terbesar pernah diadakan di negara ini.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan selepas HFF berjaya menjelajah ke semua 14 negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan Perlis menjadi destinasi penutup jelajah berwarna-warni tersebut.
Majlis penganugerahan berlangsung meriah di Dataran D, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, disaksikan ribuan pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Firdaus Nadxaman, berkata kejayaan ini adalah hasil usaha bersama seluruh pasukan Havoc, vendor, artis, pihak berkuasa tempatan, rakan kerjasama serta sokongan jutaan pengunjung di setiap lokasi.
“Dari Johor hingga Sabah, dari Sarawak hingga Perlis, HFF bukan sekadar tentang makanan tetapi ia tentang komuniti, kebersamaan dan meraikan kepelbagaian rasa Malaysia. Pengiktirafan ini membuktikan kekayaan budaya kulinari negara dan kami berbangga menjadi pemacu utamanya,” katanya.
HFF bukan sekadar pesta makanan, malah menjadi platform strategik bagi usahawan mempromosikan jenama, meningkatkan jualan, memperluas rangkaian perniagaan dan merancakkan ekonomi setempat.
Festival ini turut seiring dengan usaha menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa.
Sejak penganjurannya, HFF berjaya menarik lebih 18 juta pengunjung, menghimpunkan ratusan usahawan serta selebriti F&B, menampilkan hidangan warisan setiap negeri dan menu-menu viral terkini, selain menyediakan zon mesra keluarga, persembahan artis popular dan pameran usahawan mikro serta PKS.
Pengiktirafan MBOR ini bukan sahaja menobatkan HFF sebagai festival makanan terbesar di Malaysia, malah menetapkan penanda aras baharu penganjuran acara berskala mega yang menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk terus mengangkat industri kulinari tempatan ke peringkat antarabangsa.