Ikuti Kami:

Hattan, Hazama & Black Bersatu di Konsert Hitam Manis 2025

Hattan, Hazama & Black Bersatu di Konsert Hitam Manis 2025

Tiga nama besar industri muzik tanah air, Datuk Hattan, Hazama, dan Black, bakal bersatu tenaga dalam Konsert Hitam Manis 2025, yang akan berlangsung pada 8 Februari 2025 di Plenary Hall, KLCC.

Acara ini dijangka menjadi pembukaan tahun baru yang epik, menyatukan elemen rock, nostalgia, dan vokal memukau.

Menurut Datuk Hattan, dia berasa gembira dapat berkongsi pentas dengan Hazama dan Black.

“Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menggabungkan elemen muzik yang berbeza dari generasi yang berbeza. Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan,” katanya.

Hazama pula menyifatkan konsert ini sebagai bukti perpaduan antara artis pelbagai generasi.

“Saya teruja kerana dapat bersama Datuk Hattan dan Black. Ia satu peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami,” ujarnya.

Jelas Black, Konsert Hitam Manis ini akan menjadi satu perjalanan yang epik.

“Ini bukan hanya sekadar konsert, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat dari pelbagai lapisan masyarakat. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat,” katanya.

Menariknya, konsert ini turut menampilkan pendatang baharu Adam Eiman, anak kepada Datuk Hattan, yang akan mengisi bahagian rap dalam lagu-lagu terkenal seperti Teman Pengganti nyanyian Black dan Malique, serta Gadis Jolobu hasil kolaborasi Hattan dan Waris.

Selain itu, lagu Hitam Manis juga akan mendapat sentuhan semula dengan gubahan lebih segar, ditambah dengan bahagian rap yang dibawakan oleh Adam, memberikan nafas baharu kepada karya ikonik tersebut.

Konsert ini juga mengumumkan Genervie Kam, isteri kepada Hazama, sebagai pengarah muzik. Beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengubah susunan muziz lagu-lagu untuk memberikan pengalaman unik kepada peminat yang hadir.

Dengan penglibatan Genervie, peminat dijangka akan menikmati versi baharu lagu-lagu kegemaran mereka dalam persembahan yang lebih bertenaga dan kreatif.

Selain itu, konsert ini turut menganjurkan segmen khas penghargaan buat Allahyarham Jay Jay, seorang penyanyi dan komposer yang banyak berkolaborasi dengan Datuk Hattan di belakang tabir.

Datuk Hattan pernah menyanyikan lagu Allahyarham semasa menyertai pertandingan nyanyian suatu ketika dahulu.

Segmen ini dijangka menjadi momen yang menyentuh hati, sebagai penghormatan kepada jasa dan sumbangan Allahyarham dalam dunia seni.

Konsert ini akan berlangsung selama tiga jam dengan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, dan kolaborasi eksklusif antara ketiga-tiga penyanyi ini bersama Adam.

Datuk Hattan bakal memikat peminat dengan lagu-lagu hits seperti Biso Bonar, Mahligai Syahdu, dan Memburu Rindu. Hazama pula akan memukau penonton dengan vokalnya yang unik melalui rangkaian lagu popularnya, manakala Black bakal membakar semangat penonton dengan persembahan energetik melalui hits seperti Sofea Jane, Teman Pengganti, dan Anugerah Terindah.

Tiket telah mula dijual sejak 4 Oktober 2024 melalui laman web www.ticket2u.com. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang penuh memori ini!

Komen
Loading...