Ikuti Kami:

Hatimurni Angkat Martabat Al-Quran, Raikan 725 Pelajar Cemerlang

Hatimurni Angkat Martabat Al-Quran, Raikan 725 Pelajar Cemerlang

Seramai 725 pelajar daripada institusi pendidikan Al-Quran, Hatimurni, diraikan dalam satu majlis penuh keberkatan, Majlis Bacaan Al-Quran 30 Juzuk dan Hari Apresiasi Peningkatan Al-Quran serta Hafazan, bersempena sambutan Nuzul Al-Quran.

Majlis yang berlangsung di ibu negara ini turut menyaksikan kehadiran kira-kira 1,500 ibu bapa dan ahli keluarga, yang hadir bagi memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam penguasaan bacaan serta hafazan Al-Quran.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Syed Fahmi Akmal Bin Syed Isa.

Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif berterusan Hatimurni yang komited memperkukuhkan pendidikan Al-Quran dalam kalangan generasi muda, sekali gus menyifatkan usaha tersebut sebagai benteng kerohanian yang ampuh bagi masyarakat.

“Program ini dianjurkan dengan matlamat utama bagi menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran, selain meraikan pencapaian para pelajar serta melaksanakan bacaan 30 juzuk secara berjemaah sebagai simbol kecintaan terhadap kitab suci umat Islam.” katanya.

Dalam pada itu, suasana majlis menjadi lebih syahdu dengan bacaan doa selamat khusus buat para pelajar Hatimurni Online yang kini berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE), mendoakan agar mereka sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT sepanjang menuntut ilmu di perantauan.

Menurut Pengasas Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni, perjuangan utama institusi tersebut adalah untuk menjadi rakan strategik kepada ibu bapa dalam memberikan pendidikan agama yang kukuh.

“Hatimurni percaya bahawa pendidikan Al-Quran bukan sekadar kemahiran membaca atau menghafaz, tetapi ia adalah asas penting untuk membina akidah yang teguh, akhlak yang baik dan kefahaman agama yang jelas dalam diri anak-anak.

“Dalam era digital masa kini, anak-anak sangat mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh luar yang boleh menjejaskan cara berfikir, akidah serta akhlak mereka. Justeru, pendidikan yang berteraskan Al-Quran merupakan perisai paling berkesan,” jelas beliau ketika ditemui selepas majlis berakhir.

Majlis ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada para pelajar, malah turut berfungsi sebagai inspirasi kepada ibu bapa dan masyarakat untuk terus memartabatkan Al-Quran sebagai panduan utama kehidupan.

Hatimurni komited untuk terus melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu membaca dan menghafaz Al-Quran dengan baik, malah mampu memahami serta menghayati nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya bagi mendepani cabaran zaman.

Loading...