Harris J Jadikan ‘Revival’ Sebagai Dakwah Sebar Mesej Positif
- oleh Mohd Indera
- 9 Aug 2025 12:49 pm

Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, menjadikan album EP terbaharunya Revival sebagai wadah dakwah untuk menyebarkan mesej positif serta memupuk rasa bangga terhadap identiti Muslim, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Diterbitkan oleh Awakening Music, EP enam lagu ini bukan sekadar menandakan kemunculan semula Harris J selepas beberapa tahun menyepi, malah menjadi simbol kelahiran semula beliau sebagai artis dan insan.
Setiap lagu menampilkan lirik yang sarat nilai keimanan, kasih sayang dan ketulusan, selari dengan misi peribadinya untuk menginspirasi pendengar.
“Saya ingin membantu generasi muda Muslim berasa lebih bangga dengan identiti mereka, dan membantu mereka melihat bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna. Muzik adalah cara terbaik untuk saya menyampaikan mesej itu,” katanya pada sesi promosi eksklusif di Kuala Lumpur.
EP Revival menampilkan gabungan karya baharu dan lagu ikonik yang diberi nafas segar, antaranya ‘Qalbi Fil Madinah’ bersama Maher Zain, ‘O Allah’, ‘Salati’ dan ‘Always Listening’.
Single utama ‘Hayati’ turut disertakan video muzik sinematik arahan pengarah Perancis-Tunisia, Idris Kheder, yang menjalani penggambaran di Granada, Sepanyol.
Berasal dari London, Harris J mula meraih populariti antarabangsa pada 2015 menerusi album sulung Salam, yang memuatkan lagu-lagu popular seperti ‘Salam Alaikum’, ‘Good Life’ dan ‘I Promise’.
Gabungan lirik penuh inspirasi, bunyi kontemporari dan mesej spiritualnya berjaya menarik jutaan peminat di seluruh dunia.
Pernah berehat seketika daripada industri muzik, Harris kini tampil sebagai suara penting dalam muzik berinspirasikan keimanan, menghubungkan dirinya dengan generasi baharu pendengar yang mencari makna, kepositifan dan identiti.
EP Revival kini boleh didapati di semua platform penstriman utama.