IKLAN

Harris Baba Meninggalkan Dunia Seni

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Harris Baba, 29, akhirnya membuat keputusan meninggalkan dunia seni selepas kerjayanya tidak menunjukkan graf peningkatan selama tiga tahun.

Semangat membara mencipta populariti, lenyap perlahan-lahan apabila kerjaya nyanyian dan lakonan semakin malap. Tidak seperti awal kemunculan bersama single Katakan dan drama rantaian, Isteri Tuan Ihsan yang dilihat melonjak nama dan populariti pada 2016.

Bagaimanapun, sekelip mata graf popularitinya menjunam selepas dua tahun berehat dan menumpukan perhatian perniagaan keluarga di Sabah.

Akur dengan takdir dan ketentuan, Harris atau nama sebenarnya, Khawaja Mohammad Harris Baba percaya keputusan mengundurkan diri adalah pilihan terbaik, buat masa ini. Apatah lagi, dua single berjudul Bagaikan Selalu dan Love Me gagal meraih perhatian peminat.

Pengorbanannya berulang alik dari Sabah ke Kuala Lumpur setiap minggu dan terpaksa meninggalkan anak dan isteri bagaikan tidak berbaloi apabila usahanya untuk menempatkan diri dipandang sepi.

“Saya berulang alik hampir setiap minggu dari Sabah ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, tiada rezeki saya menempa nama, jadi saya fikir keputusan mahu berundur diri adalah jalan terbaik.

IKLAN

“Saya berundur diri secara baik daripada syarikat rakaman, World Peace Entertainment walaupun baru lapan bulan menandatangani kontrak.

“Cukuplah, saya berada dalam industri hiburan. Jika diteruskan sekali pun, saya bimbang kerjaya berada di landasan yang sama. Jadi, saya harus bijak membuat keputusan,” katanya kepada BH Online.

Harris berkata, dia banyak banyak terlepas momen indah bersama isteri, Nik Naziha Zawawi dan dua cahaya mata, Aleena Ziya, 4, dan Muhammad Umar Baba, 2, sejak tiga tahun lalu. Jadi, inilah waktu untuknya menembus kembali masa yang terbuang.

Penyanyi kelahiran kota Singa itu berkata, dia semakin seronok menguruskan perniagaan bersama isteri. Perniagaan milik kakak iparnya diserahkan kepada Harris dan isteri, sejak setahun lalu.

Harris berkata, dia melihat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai hikmah buat dirinya. Selain menumpukan sepenuh perhatian buat keluarga kecilnya, dia juga mengambil kesempatan memperbaiki diri sebagai seorang muslim.

“Saya terlalu sibuk dengan kerjaya dan banyak terleka sebelum ini. Bagaimanapun, setiap masa saya berada di rumah sepanjang tempoh PKP. Jadi, saya memanfaatkan waktu senggang ini untuk memperbaiki diri dengan menjaga solat dan banyak melakukan amal ibadat lain,” katanya.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN