Hari Malaysia Diserikan Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta di Bukit Jalil
- oleh Mohd Indera
- 9 Sep 2025 6:35 pm

Sambutan Hari Malaysia tahun ini bakal lebih meriah dengan penganjuran Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 September di Parkir Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Festival berskala besar itu menghimpunkan lebih 200 usahawan makanan, gaya hidup dan hiburan, sekali gus menjadikannya wadah penyatuan rakyat Malaysia berbilang kaum melalui makanan, budaya dan aktiviti komuniti.
Menurut Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal, festival ini bukan sekadar pesta makanan, tetapi platform meraikan perpaduan rakyat dan memperkasakan usahawan tempatan.
“Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta menjadi ruang untuk kita menyatukan rakyat Malaysia melalui makanan dan budaya. Tahun ini kami sasarkan lebih 100,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia,” katanya.
Antara tarikan utama ialah Fun Run Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 pada 16 September yang bakal disertai lebih 1,000 peserta, dengan kehadiran istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Selain itu, Konsert Ambang Hari Malaysia pada 15 September dari 9 malam hingga 12.30 tengah malam bakal menggamatkan suasana dengan persembahan artis popular termasuk Aina Abdul, Khai Bahar, Hazama, Amylea Adnan, ALPHA dan Didie Shazry.
Festival ini juga menyajikan pelbagai aktiviti sampingan seperti rakaman podcast, ceramah motivasi, cabutan bertuah, persembahan budaya, zumba, sesi interaktif bersama pengunjung serta aktiviti usahawan.
Ia juga akan diserikan dengan kehadiran barisan influencer popular tanah air seperti Ojen Aiwah, Jordan, Rania, Putra dan ramai lagi yang bakal memeriahkan suasana sepanjang lima hari penganjuran.
Penganjuran festival turut mendapat sokongan padu rakan strategik dan penaja utama antaranya MiCasa Kuala Lumpur selaku Hotel Rasmi, Walls, Unifi Business, Anytime Fitness Hampshire, Funnel Evo dan SimplySiti.
Wakil SimplySiti berkata, penglibatan jenama itu adalah sebahagian usaha memperkasa gaya hidup sihat rakyat Malaysia.
“Selain kecantikan luaran, kami tekankan kesejahteraan dalaman. Di festival ini, SimplySiti tampil dengan aktiviti zumba dan perkongsian gaya hidup sihat. Kami bangga dapat bersama menyemarakkan sambutan Hari Malaysia,” katanya.
Sementara itu, wakil Anytime Fitness Hampshire menambah, pihaknya akan menyediakan sesi body scanning, konsultasi kesihatan percuma serta kuiz interaktif dengan hadiah menarik.
“Kami juga tawarkan promosi khas diskaun untuk keahlian baru Anytime Fitness Hampshire sepanjang lima hari festival,” katanya.
Rayme berkata, keunikan festival ini adalah gabungan antara makanan, budaya, hiburan dan gaya hidup, yang menjadi cerminan perpaduan rakyat Malaysia.
“Kami mahu menjadikan festival ini sambutan Hari Malaysia terbesar di Lembah Klang. Semua rakyat Malaysia dijemput hadir dan merasai pengalaman unik bersama keluarga,” ujarnya.
Dengan tema “Budaya, Makanan, Perpaduan & Usahawan”, Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 diharap menjadi simbol kasih sayang negara kepada rakyat, meraikan kebersamaan dalam suasana penuh warna-warni Hari Malaysia.