HardTech & Transmission Gegar Sepang Sempena PETRONAS Grand Prix 2025
- oleh MDaily Editor
- 8 Oct 2025 7:03 pm

Dua jenama muzik elektronik antarabangsa terkemuka, HardTech dan Transmission, bakal menggamatkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi festival muzik elektronik terbesar tanah air sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Oktober ini.
Dianjurkan oleh Hi:Five Entertainment, festival ini menandakan kali pertama HardTech iaitu gabungan dua jenama popular dunia, Hardmission dan Techmission, serta Transmission dibawa ke Malaysia.
Penganjur menjanjikan pengalaman muzik berintensiti tinggi dengan gabungan visual dan teknologi yang memukau, seiring dengan standard produksi antarabangsa.
Acara pra-parti rasmi PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 itu dijangka menjadi kemuncak hiburan sepanjang minggu perlumbaan apabila degupan muzik elektronik berpadu dengan deruman enjin MotoGP.
Menurut penganjur, festival ini bukan sekadar pentas hiburan tetapi simbol penyatuan dua dunia penuh tenaga, muzik dan sukan permotoran.
Dengan kerjasama strategik daripada Litar Antarabangsa Sepang sebagai lokasi utama, kawasan ikonik itu akan bertukar wajah menjadi gelanggang muzik berirama keras dan trance yang diterangi pancaran cahaya serta visual futuristik.
“HardTech dan Transmission membawa semangat global ke Malaysia. Ia bukan sekadar festival tetapi satu perayaan budaya muzik elektronik yang meraikan komuniti dan tenaga muda negara,” kata wakil Hi:Five Entertainment dalam kenyataan rasmi.
Acara dua hari itu bakal menampilkan barisan DJ antarabangsa dan tempatan termasuk Space 02, MANDY, Sub Zero Project, Warface, Trym, Driftmoon, Daxson, Markus Schulz, Aly & Fila serta Ben Nicky.
Turut memeriahkan pentas ialah nama-nama besar tempatan seperti Chukies & Whackboi, Bass Agent, Boris Fong, Mister Ariffin dan Digital Rush B2B Gio.
Festival yang dijangka menarik kehadiran lebih 15,000 pengunjung ini akan berlangsung dari jam 3 petang hingga 11.50 malam di Helipad, Litar Antarabangsa Sepang.
Tiket festival dijual pada harga antara RM268 hingga RM498 bagi pas dua hari, merangkumi kategori biasa dan VIP.
Dua hotel berhampiran, Movenpick Hotel & Convention Center KLIA serta Ibis Styles Sepang KLIA, dilantik sebagai rakan hotel rasmi dan bakal menawarkan pakej khas tiket bersama penginapan.
Antara rakan media yang turut menyokong acara ini ialah HITZ FM, ERA FM dan MY FM sebagai rakan radio rasmi, manakala EDM HUB dan Party Lab KL menjadi rakan media digital.
Dengan gabungan tenaga muzik, teknologi dan adrenalin perlumbaan, HardTech & Transmission dijangka menjadi antara festival muzik elektronik paling bersejarah di Malaysia, menandakan kebangkitan semula genre trance dan hardstyle di rantau Asia Tenggara.