Ikuti Kami:

HardTech dan Transmission Gegar Petronas Grand Prix Malaysia 2025

HardTech dan Transmission Gegar Petronas Grand Prix Malaysia 2025

Hi:Five Entertainment bakal menganjurkan pra-parti PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 dengan membawa tiga jenama muzik elektronik antarabangsa terkenal, HardTech (gabungan Hardmission dan Techmission) serta Transmission, yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Oktober ini di Helipad, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC).

Acara yang dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena hujung minggu perlumbaan MotoGP dengan menghimpunkan peminat sukan permotoran dan penggemar muzik elektronik dari seluruh dunia.

Menurut kenyataan Hi:Five Entertainment, HardTech akan memperkenalkan konsep baharu dalam arena muzik elektronik tempatan melalui gabungan muzik keras, teknologi canggih dan visual imersif yang menawarkan pengalaman rave futuristik.

Sementara itu, Transmission yang berpangkalan di Eropah merupakan jenama trance berprestij dunia, dikenali dengan produksi berskala besar, tema sinematik serta persembahan cahaya dan bunyi yang mengagumkan.

“Kehadirannya di Malaysia menandakan kebangkitan semula genre trance dalam industri festival tempatan,” kata penganjur dalam kenyataan itu.

Festival selama dua hari itu bakal menampilkan barisan DJ antarabangsa terkemuka termasuk Markus Schulz, Aly & Fila, Ben Nicky, Sub Zero Project, Warface, MANDY, Driftmoon dan ramai lagi yang dijangka memeriahkan suasana dengan persembahan bertenaga dan rentak elektronik yang menggamit perhatian.

Bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung, pihak penganjur komited mematuhi lima Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi acara muzik elektronik.

“Langkah-langkah keselamatan termasuk penyediaan pusat hidrasi, pasukan perubatan di lokasi, mesej kesedaran anti-dadah, hospital sokongan serta unit pengesanan dadah K9,” jelas kenyataan itu.

Pengunjung turut digalakkan berpakaian selesa seperti seluar pendek, joggers, tank top dan kasut bertutup seperti sneakers atau but. Namun, pakaian yang tidak sopan, bercetakan ofensif atau menutup muka sepenuhnya tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Festival ini turut disokong oleh Mövenpick Hotel & Convention Center KLIA dan Ibis Styles Sepang KLIA sebagai hotel rasmi, selain mendapat kerjasama rakan media seperti HITZ FM, ERA FM, MY FM, serta rakan digital EDM HUB dan Party Lab KL.

Tiket untuk dua hari festival itu dijual pada harga antara RM268 hingga RM498, meliputi kategori General Admission dan VIP Experience.

Menurut penganjur, kemunculan sulung HardTech dan Transmission di Malaysia menandakan satu era baharu dalam landskap festival muzik elektronik negara dengan penyatuan muzik, teknologi dan budaya dalam suasana penuh tenaga bersempena kemeriahan minggu Grand Prix.

Tiket boleh dibeli di ticketmelon.com dan megatix.asia, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman rasmi Instagram dan Facebook @hifiveasia.

Komen
Loading...