Haram Atau Tidak Pasangan Pilih Hidup Childfree? Ini Penjelasan Mufti
- oleh Mohd Indera
- 6 bulan lalu
Sekarang ni makin banyak pasangan memilih untuk hidup tanpa anak disebabkan faktor ekonomi, emosi dan juga masih tak bersedia dengan komitmen.
Disebabkan itu, kehidupan pasangan yang tak mempunyai anak makin popular di Malaysia. Mesti ramai yang tertanya-tanya, dari sudut agama boleh ke pasangan pilih kehidupan ini?
Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat sebab dan keadaan yang perlu dipertimbangkan dari segi syarak berhubung isu ini.
- Pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram.
- Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Ia bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan bahkan tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.
- Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus, dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak.
Mufti juga menjelaskan bahawa institusi kekeluargaan dibina melalui tali pernikahan dan merupakan sunnah Rasulullah SAW.
Menurut Imam al-Khadimi, salah satu antara tujuan (maqasid) perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan dan memperbanyakkan zuriat bahkan ia termasuk dalam tujuan asal dan asas perkahwinan.
Objektifnya bagi memakmurkan alam semesta dan mengekalkan kelangsungan kehidupan manusia.
Selain itu, ia juga bertujuan meramaikan bilangan umat Islam, meningkatkan kekuatan dan membina pengaruh sehingga mampu melaksanakan tugas sebagai khalifah di bumi bahkan menjadi saksi kepada sekalian manusia.
Bila dah berkahwin ni, perlu diingatkan bahawa anak itu anugerah dan bukannya beban. Apapun kita perlu bersyukur dikurniakan anak sebab ramai lagi pasangan yang tak berpeluang walaupun dah usaha macam-macam.