Haqiem Rusli Terima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM
- oleh MDaily Editor
- 11 Dec 2025 7:39 pm
Penyanyi lelaki popular, Haqiem Rusli, sekali lagi membuktikan kedudukannya dalam industri muzik tanah air apabila lagu hitnya, “Mimpi”, yang dilancarkan pada 2020, dianugerahkan Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM.
Anugerah berprestij ini disampaikan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sebagai pengiktirafan rasmi terhadap kejayaan komersial lagu tersebut yang telah berjaya mencapai pendapatan melebihi RM100,000 hasil daripada penstriman di platform digital.
Jumlah pendapatan yang dicapai oleh single “Mimpi” telah diaudit secara teliti oleh RIM berdasarkan angka sah dari jumlah muat turun serta strim audio dan video lagu tersebut di platform digital.
Pensijilan yang diberikan oleh RIM ini menekankan tarikan berterusan rakaman muzik tempatan di kalangan peminat muzik di Malaysia dan rantau ini.
Lagu “Mimpi” merupakan karya kolaborasi Haqiem Rusli sendiri bersama penerbit drama terkenal, Dato’ A. Aida, dan diterbitkan di bawah naungan FMC Music.
Dilancarkan dalam format digital pada 15 Disember 2020, single ini dengan pantas mendominasi carta, malah video muzik rasminya yang dimuat naik pada 7 Januari 2021 berjaya meraih hampir satu juta tontonan dalam hanya beberapa hari pelancarannya.
Pengerusi RIM, Encik Rosmin Hashim, berkata RIM sentiasa gembira untuk mengiktiraf artis dan label muzik Malaysia.

Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Presiden RIM, Encik Rosmin Hashim (kanan) yang berlangsung di Ibu Pejabat RIM di Solaris Mont’ Kiara.
“Pensijilan yang diberikan kepada ‘Mimpi’ membuktikan penerimaan dan sokongan kukuh terhadap rakaman muzik tempatan, bukan sahaja dari kalangan rakyat Malaysia, bahkan peminat muzik di luar negara.
“Tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas kreativiti serta dedikasi mereka.” katanya.
Sementara itu, Haqiem Rusli menyatakan rasa syukur dan terhormat atas pengiktirafan ini daripada RIM.
“Saya berasa amat terhormat menerima pengiktirafan ini daripada RIM. ‘Mimpi’ adalah lagu yang istimewa buat saya, dan saya amat bersyukur atas sokongan daripada FMC Music, pasukan saya, dan semua yang telah mendengar lagu ini,” katanya.
Pengurus PR FMC Music pula menyifatkan anugerah ini sebagai lambang dedikasi. “FMC Music amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini daripada RIM.
‘Mimpi’ adalah karya yang lahir daripada jiwa dan dedikasi Haqiem bersama pasukan, dan anugerah ini menjadi lambang bahawa setiap nota dan liriknya telah menyentuh hati pendengar,” ujarnya.
Sijil Pengiktirafan Anugerah Jualan RIM merupakan pengiktirafan yang dihormati dan boleh dipercayai dalam industri. Penerima terdahulu termasuk nama-nama besar seperti Fazura, MOJO, dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza.




