Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin Kembali dengan Konsert Solo Pertama
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
KUALA LUMPUR: Selama tiga dekad berkecimpung dalam industri seni dengan 18 album solo dan kompilasi, Datuk Nora Ariffin terus unggul sebagai antara penyanyi popular tanah air.
Meskipun telah lama bertapak, penyanyi kelahiran Kelantan ini belum berpeluang mengadakan konsert solo kerana kekangan penajaan, yang hampir membuatnya berputus asa.
Dalam tempoh yang panjang ini, Nora telah melalui pelbagai pengalaman yang mencabar, termasuk penolakan kertas kerja untuk penganjuran konsert daripada beberapa pihak. Namun, ia tidak memadamkan semangatnya untuk terus berjuang.
Kesedihan selepas kehilangan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, seorang komposer terkenal pada tahun 2017, menjadikan perjalanan seninya semakin sukar.
“Saya hampir menyerah, tetapi dengan sokongan orang di sekeliling, konsert solo pertama saya akhirnya dapat direalisasikan,” kata Nora.
Peluang kembali muncul melalui Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik oleh Kementerian Komunikasi, yang memberikan harapan baru kepada Nora untuk merealisasikan impiannya.
“Apabila permohonan geran kerajaan diluluskan, ia umpama semangat dan pendorong kuat kepada saya dan pasukan untuk meneruskan perancangan konsert walaupun risau ada kekangan lain selepas ini,” tambahnya.
Konsert ‘Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey)’ dijadualkan berlangsung pada 18 Disember di PJ Pac.
Dengan 17 lagu popular dari album-album terdahulu, termasuk Renungan Terakhir dan Jentayu, penonton akan dibawa mengimbau kenangan manis bersama lagu-lagu yang memikat hati.
Konsert ini juga akan mendapat sentuhan daripada individu berpengalaman dalam industri muzik tanah air, termasuk Jennifer Thompson sebagai pengarah persembahan dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.
Tiket konsert boleh dibeli di www.onetix.com.my pada harga RM108 hingga RM518. Ini merupakan peluang bagi peminat untuk menyaksikan persembahan hebat Nora Ariffin yang telah merakam lebih 100 lagu sepanjang kariernya.