“Hanya Doa” – Mohderzam Beri Nafas Baharu Lagu Awang BPR
- oleh MDaily Editor
- 31 Oct 2025 12:10 pm
Lagu malar segar “Hanya Doa” ciptaan komposer tersohor tanah air, Awang BPR, kini diberi sentuhan baharu oleh penyanyi kelahiran Aceh, Mohderzam, yang tampil dengan gaya tersendiri penuh emosi dan jiwa.
Lagu yang asalnya dinyanyikan oleh Achik Ukays pada tahun 2021 itu kembali dihidupkan dengan susunan muzik segar hasil idea produser Suryadi, yang melihat potensi besar dalam karya ini untuk menembusi pasaran Aceh dan Malaysia.
Menurut Mohderzam, peluang untuk menyanyikan semula karya Awang BPR merupakan satu penghormatan besar dalam perjalanan seninya.
“Saya amat berbangga diberi kepercayaan membawakan lagu ‘Hanya Doa’ kerana ia mempunyai makna yang sangat mendalam. Tambahan pula, ia adalah karya seorang komposer terkenal Malaysia yang saya sangat kagumi,” katanya.
Lirik lagu ini dihasilkan oleh I.Kay, manakala versi terbaharu nyanyian Mohderzam mengekalkan kekuatan mesej asal sambil diserikan dengan nuansa Aceh yang lebih mendayu dan menyentuh perasaan.
Awang BPR, yang sinonim dengan karya-karya klasik seperti Segalanya Ku Terima (Illusi), Hanya Padamu (Qiara) dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra), menyifatkan kolaborasi bersama Mohderzam sebagai bukti muzik mampu merentasi sempadan dan generasi.
“Kekuatan sesebuah lagu bergantung kepada irama dan penghayatan penyanyinya. Saya yakin ‘Hanya Doa’ versi Mohderzam akan mendapat tempat di hati pendengar kerana jiwa dan keikhlasannya terserlah,” katanya.
Penulis lirik, I.Kay, turut menitipkan pesanan agar Mohderzam terus membawa lagu ini dengan penuh keikhlasan.
“Lagu yang lahir dari hati akan sentiasa hidup dalam jiwa pendengar. Semoga ‘Hanya Doa’ terus kekal sebagai lagu bernyawa dan bererti,” katanya.
Projek ini turut disokong oleh label rakaman Luncai Emas dari Malaysia dan Haba Music dari Aceh. Pengarah Urusan Haba Music, Muhammad Cut Adek, menyifatkan kehadiran Mohderzam di Malaysia sebagai satu langkah besar untuk memperkukuh hubungan muzik antara dua negara serumpun itu.
“Mohderzam mampu mengulangi kejayaan seniman berdarah Aceh seperti P. Ramlee dan Bob Rizal. Kami yakin ‘Hanya Doa’ akan diterima baik di kedua-dua negara,” katanya.
Video muzik Hanya Doa versi baharu ini menjalani penggambaran di Gampong Atong, Aceh Besar, destinasi pelancongan sawah teres yang popular kerana keindahan pemandangannya.
Rakaman audio dan video dijalankan sepenuhnya di Aceh, dan lagu “Hanya Doa” versi Mohderzam telah dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 10 Oktober, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas.




