Ikuti Kami:

Haiza Bangkitkan Nostalgia Dengan Versi Baharu Dag Dig Dug

Haiza Bangkitkan Nostalgia Dengan Versi Baharu Dag Dig Dug

Penyanyi versatil Haiza mengimbau kenangan manis awal pembabitan seninya dengan pelancaran semula lagu ikonik Dag Dig Dug dalam versi baharu yang diberi judul Dag Dig Dug 3.0, sekali gus membangkitkan nostalgia peminat setianya sejak tahun 1995.

Lagu yang pernah melonjakkan namanya ketika berusia 15 tahun itu dirakam semula dengan susunan muzik lebih moden dan segar namun masih mengekalkan jiwa dangdut yang menjadi identiti Haiza sejak dahulu.

“Lagu asal Dag Dig Dug sangat dekat di hati saya dan peminat. Ramai yang meminta saya rakamkan semula versi lebih matang dan segar. Kini, dengan usia dan pengalaman, saya bawakan Dag Dig Dug 3.0 sebagai tanda penghargaan untuk mereka yang setia bersama saya sejak awal,” kata Haiza pada majlis pelancaran Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, baru-baru ini.

Versi baharu lagu ini dihasilkan oleh komposer asal, Dedi Abdul Kadir Nughra dan dirakam semula di Bandung, Indonesia Disember lalu. Ia diterbitkan oleh Diki Suwarjiki dan melalui proses mixing serta mastering oleh Ari Yujeng, dua nama besar yang sering terbabit dalam produksi muzik nasional di Indonesia.

“Susunan muzik kali ini lebih berentak koplo dan kontemporari. Ia pengalaman yang berharga buat saya bekerja dengan tenaga produksi Indonesia yang sangat profesional,” tambahnya.

Menurut Haiza, Dag Dig Dug 3.0 bukan sekadar projek ulang rakam, tetapi simbol penghargaan terhadap sokongan peminat yang terus memberi semangat sepanjang tiga dekad perjalanannya dalam bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan dan penyiaran.

Malah, dokumentari khas bertajuk 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza turut diterbitkan oleh Kool 101 dan boleh ditonton di saluran YouTube rasmi mereka bermula 21 Jun ini, merakam suka duka serta pencapaian penting sepanjang kerjaya seni Haiza.

Majlis pelancaran tersebut turut disokong oleh penaja utama Geo Resort & Hotel Genting Highlands serta rakan penaja antaranya Peterana Chenta, Alpha Sound & Light, FKZ Picture, NR Cosmetic, Adabi, Pop Meals, Super Coffee, By Qiss Bawal Exclusive Kuantan, Jaja Ishak Channel dan NMR Sports. Kool 101 bertindak sebagai rakan media rasmi.

Projek ini dibawakan secara eksklusif oleh My Own Entertainment dan Indigital Music.

Dag Dig Dug 3.0 kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital sejak 20 Jun lalu, manakala muzik videonya pula ditayangkan menerusi YouTube Indigital Music.

Komen
Loading...