Ikuti Kami:

Hafizh Syahrin, Daddy Hood Warnai Dunia Adik Beradik Roleplay

Hafizh Syahrin, Daddy Hood Warnai Dunia Adik Beradik Roleplay

Pelumba negara Hafizh Syahrin dan personaliti serta streamer popular Daddy Hood kini secara rasmi menyertai dunia permainan realiti maya, Adik Beradik Roleplay (ABRP) di bawah jenama komuniti digital terkenal Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL).

Penyertaan dua figura berpengaruh ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menandakan komitmen ABKL dalam memperkukuh kedudukan mereka sebagai jenama tempatan yang menerajui dunia permainan digital dan e-gaming di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir atau lebih dikenali sebagai MelRomeo, berkata pelantikan Hafizh dan Daddy Hood sebagai ikon baharu ABKL bukan hanya berasaskan populariti, tetapi kerana kedua-duanya mencerminkan semangat kekeluargaan, kompetitif dan positif yang menjadi teras kepada komuniti ABKL.

“Mereka bukan sekadar wajah depan, tetapi ikon sebenar yang hidup bersama komuniti kami. Kedua-duanya aktif bermain, berinteraksi dan memberi inspirasi kepada pemain baharu. ABKL bukan sekadar platform permainan, tetapi keluarga digital,” katanya.

Sebagai ikon rasmi, Hafizh dan Daddy Hood akan memainkan peranan penting dalam memperluas capaian ABKL di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mereka juga akan terus aktif sebagai streamer tetap serta pemain rasmi ABRP, sekali gus menjadikan kerjasama ini satu langkah praktikal dalam membina jenama dan komuniti digital yang lebih kukuh.

Kedua-dua ikon ini telah menunjukkan komitmen tinggi sejak mula aktif sekitar pertengahan tahun 2024, bukan sahaja memahami budaya ABRP tetapi turut berkongsi pandangan berharga dalam mengembangkan aspek hiburan, perlumbaan dan gaya hidup moden dalam dunia permainan maya.

Ketua Pegawai Teknologi ABKL, Mohd Hilmi Azli atau Keiroy, berkata pandangan serta pengalaman mereka telah membantu memperkukuh identiti ABRP sebagai dunia roleplay tempatan yang lebih realistik dan dekat dengan masyarakat Malaysia.

“Kami mendapat banyak idea segar hasil perbincangan bersama Hafizh dan Daddy Hood, bagaimana untuk memasukkan elemen automotif, perlumbaan serta kandungan hiburan ke dalam gameplay ABRP secara lebih realistik dan menarik,” jelas Keiroy.

ABKL yakin kehadiran dua figura ini akan mengubah persepsi masyarakat terhadap dunia permainan digital yang bukan lagi sekadar hiburan, tetapi sebagai ruang membina komuniti dan peluang baharu.

“Kami mahu membuktikan bahawa dunia gaming mampu menyatukan semua golongan tidak kira latar belakang, atlet, artis, streamer atau pemain biasa dalam satu keluarga digital yang positif. Itulah semangat ABKL yang kami bawa,” tambah Keiroy.

Dalam masa yang sama, ABKL turut mengumumkan beberapa perancangan strategik menjelang tahun 2025 hingga 2026, termasuk pelancaran musim baharu ABRP dengan sistem permainan yang lebih dinamik, kolaborasi bersama personaliti tempatan dan jenama Malaysia, penganjuran ABKL Annual Dinner & Community Awards 2025 serta pembangunan ABKL Creator Hub untuk streamer dan pencipta kandungan menjana pendapatan secara rasmi melalui ABRP.

“Fokus kami adalah memperkukuhkan ABKL sebagai simbol komuniti digital paling berpengaruh di rantau ini. Kami percaya sinergi antara dunia hiburan, sukan dan teknologi mampu menjadikan Malaysia hab e-gaming yang membanggakan,” kata Muzammil.

Ditubuhkan pada tahun 2021, Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) bermula sebagai jenama pakaian sebelum berkembang pesat menjadi komuniti permainan digital melalui platform Adik Beradik Roleplay (ABRP) pada 2023.

Platform ini terkenal sebagai dunia permainan realistik yang memupuk semangat kekeluargaan, kreativiti dan interaksi sosial positif.

Kini, ABKL menguruskan tiga pelayan FiveM iaitu AdikBeradik East, AdikBeradik West dan AdikBeradik Mobile, dengan komuniti Discord yang besar melibatkan lebih 63,000 ahli di East, 19,400 di West dan 18,000 di Mobile, menjadikannya antara komuniti roleplay paling aktif di Asia Tenggara.

Komen
Loading...