Hafiz Suip Terus Kuat Demi Anak-Anak, Serahkan Segalanya Pada Takdir
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu
Penyanyi, Hafiz Suip, kini sedang melalui tempoh ujian peribadi yang berat, namun beliau memilih untuk terus kuat demi anak-anaknya.
Hafiz mengungkapkan bahawa walaupun perkahwinannya dengan Nureffy Jasreel Abdullah menghadapi kemelut, beliau tetap bersyukur dan reda dengan segala ketentuan hidup.
Hafiz atau nama penuhnya Mohd Hafiz bin Mohd Suip, yang mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5 tahun, mengakui bahawa ujian ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi beliau meyakini bahawa setiap ujian ada hikmahnya.
“Saya akan terus kuat untuk anak-anak dan kehidupan yang mendatang. Alhamdulillah, walaupun sukar, saya yakin semuanya ada hikmah. Saya percaya ini adalah ujian yang harus saya hadapi dengan sabar,” katanya.
Meskipun rumah tangga mereka kini dalam proses mahkamah, Hafiz menegaskan bahawa beliau tidak mahu memberi tumpuan kepada isu peribadi ini, sebaliknya lebih memilih untuk fokus pada kesejahteraan anak-anaknya.
“Saya masih lagi suami orang, cuma kita tak duduk sebumbung. Ini adalah ujian dan saya belajar untuk bersyukur walaupun musibah tu berat. Saya percaya ujian ini adalah cara Allah SWT menguji kita,” katanya kepada media ketika ditemui pada program Mega Live AJL39 yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor pada malam Sabtu.
Hafiz juga menasihatkan orang ramai untuk tidak menyendiri ketika menghadapi cabaran hidup.
Menurutnya, sokongan daripada keluarga dan rakan yang positif sangat penting untuk menghadapi dugaan dengan hati yang lebih tenang.
“Jangan menyendiri, carilah jemaah atau circle yang selalu memberi semangat positif. Jangan paksakan sesuatu dalam hidup. Belajarlah untuk menerima dengan hati terbuka,” pesannya.
Terdahulu, Hafiz mendedahkan dalam sebuah temu bual bersama program hiburan Melodi bahawa dia dan isterinya kini sedang dalam proses penceraian.
Hafiz bakal beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), yang akan berlangsung pada 16 Februari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Penyertaannya menjadi tumpuan peminat, dengan ramai meramalkan Hafiz bakal memberikan cabaran hebat, terutama dalam kategori Vokal Terbaik.
“Jujurnya, harapan tinggi daripada semua pihak memberi tekanan besar kepada saya. Malah, ada juga netizen berseloroh meminta saya mengatasi Aina Abdul dan Ernie Zakri.
“Saya anggap gurauan ini sebagai cara menceriakan suasana AJL39, tetapi inilah yang menjadikan debaran dan kemeriahannya lebih bermakna,” katanya.
Foto Oleh : KOSMO