Hafiz Suip Hadiahkan Malam Penuh Emosi Dalam ‘Di Sebalik Aku’
- oleh MDaily Editor
- 2 Nov 2025 3:02 am
Pemenang Vokal Terbaik AJL34, Hafiz Suip, menghadiahkan malam penuh emosi dan kenangan manis kepada lebih 3,500 peminat menerusi konsert sulungnya yang dinanti-nantikan, “Di Sebalik Aku: Hafiz Suip”, yang berlangsung megah di Mega Star Arena, Bukit Bintang, malam tadi.
Sejak detik pertama lampu dewan dipadam, suasana bertukar magis apabila pentas diterangi permainan cahaya menakjubkan dan visual sinematik yang menggambarkan perjalanan seni Hafiz sepanjang 16 tahun dalam industri muzik Malaysia.
Membuka tirai dengan lagu Awan Nano, Hafiz terus memukau peminat menerusi deretan lagu hits yang tidak pernah lekang di bibir peminat seperti Bahagiamu Deritaku, Matahari, Masih Jelas, Terus Bersinar dan Noktah Cinta.
Setiap bait lagu disambut dengan sorakan dan nyanyian beramai-ramai yang menggamatkan dewan.
Konsert yang berdurasi lebih dua jam itu turut menampilkan dua artis jemputan, Adira Suhaimi dan Umairah, yang menyerikan pentas dengan persembahan mantap dan beremosi.

Gabungan Hafiz dan Adira menerusi lagu Ombak Rindu serta medley Takdir Tercipta dan Untuk Cinta mengundang tepukan gemuruh penonton, manakala Umairah memukau dengan Muara Hati dan Salahkah.
Menurut Hafiz, konsert ini menjadi kenangan paling berharga dalam karier seninya.
“Saya amat terharu dengan sokongan luar biasa malam ini. Setiap tepukan dan nyanyian mereka memberi saya kekuatan dan inspirasi untuk terus berkarya. Ini bukan sekadar konsert, tetapi perayaan kasih sayang saya bersama peminat,” katanya penuh syukur.
Tambah Hafiz lagi, selain peminat, keluarga terutama anaknya menjadi sumber kekuatan yang tidak ternilai dalam perjalanan hidup dan seninya.
“Anak-anak adalah pemberi semangat dan kekuatan untuk saya, itu yang membuat saya terus melangkah dan berjuang dalam kerjaya ini,” ujarnya.

Malam penuh kejutan itu turut menyaksikan kemunculan istimewa Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment, yang berduet dengan Hafiz menerusi lagu Ku Akui.
Antara momen istimewa, semasa Hafiz menyanyikan lagu Pelangi Petang, nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad, dia dikejutkan dengan kemunculan ayah dan ibunya yang menggunakan kerusi roda, naik ke pentas, detik yang membuat ramai penonton tersentuh.

Hafiz turut memberikan hadiah istimewa kepada peminat dengan mempersembahkan lagu terbaharunya, Yang Engkau Mahukan, buat pertama kali di pentas itu.
Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment itu turut mendapat sokongan daripada penaja seperti Bienz, Solustra Perfum dan Finura, serta dipuji ramai atas mutu penganjuran yang cemerlang daripada sistem bunyi mantap, tempat duduk selesa hingga suasana mesra keluarga.
Hafiz menutup konsert dengan penuh emosi menerusi lagu Kisah Cinta Kita, karya yang pernah melayakkannya merangkul trofi Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik di AJL34.




