Hafiz Hamidun, nama besar dalam genre pop dakwah Malaysia, kembali dengan sebuah karya bermakna berjudul Raudah.
Lagu ini diterbitkan bersempena sambutan Maulidur Rasul akan datang dan mengisahkan pengalaman spiritual serta emosi Hafiz semasa mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah.
“Raudah menggambarkan perjalanan rohani saya ke taman syurga, tempat doa dikabulkan dengan izin Allah. Lagu ini juga meluahkan kekaguman terhadap suasana haji dan kerinduan bertemu Nabi Muhammad SAW di Jannah,” jelas Hafiz.
Karya ini turut menampilkan unsur Timur Tengah dengan melibatkan pemuzik antarabangsa dari Istanbul.
“Saya mahu elemen ‘padang pasir’ menghidupkan lagu ini. Selain itu, saya masukkan kalimah selawat agar lagu ini mencerminkan kecintaan kepada baginda,” tambahnya.
Proses rakaman dan penghasilan lagu ini berlangsung selama tiga minggu, termasuk adunan dan mastering. Klip video pula dirakam di Mekah dan Madinah, dengan Hafiz berkongsi pengalaman istimewa berada di kawasan Raudah selama dua jam, suatu keistimewaan yang jarang berlaku.
“Saya rakam video dalam Raudah menggunakan telefon bimbit untuk mengabadikan kenangan. Rakaman ini menjadi lambang kegembiraan dan syukur menunaikan ibadah di sana,” kata Hafiz, menzahirkan keterujaannya.
Melalui lagu ini, Hafiz berharap pendengar dapat merasai kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, khususnya sempena Maulidur Rasul.
“Selawatlah di mana sahaja, kerana inilah dakwah kecil saya untuk mengingatkan umat Islam kepada baginda,” katanya.
Raudah akan dilancarkan pada 6 September 2024 dan tersedia di semua platform digital seperti Spotify, YouTube, dan iTunes. Hafiz berharap lagu ini menjadi inspirasi untuk umat Islam memperbanyakkan selawat dan menghidupkan sunnah Rasulullah.