
Hael Husaini bakal membawa peminat menyelami dunia seni dan gaya menerusi Konsert Hael Husaini & Repertoire yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025.
Lebih daripada sekadar konsert, acara ini menjanjikan satu malam penuh ekspresi, emosi dan estetika yang menyatukan muzik, visual dan fesyen dalam sebuah persembahan yang mengangkat kreativiti ke tahap baharu.
Dikenali dengan gaya tersendiri dan suara bertenaga, Hael tampil dengan pendekatan berbeza untuk konsert sulungnya. Beliau mahu peminat bukan hanya hadir untuk mendengar lagu tetapi turut merasai perjalanan seninya sebagai penyanyi, komposer dan ikon fesyen.
“Saya mahu peminat yang hadir bukan hanya mendengar lagu tetapi merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya dan melihat sisi kreatif saya dari muzik hingga ke fesyen. Saya mahu mereka pulang dengan rasa terinspirasi dan bangga menjadi sebahagian daripada malam itu,” kata Hael.
Sejak muncul dalam industri, Hael telah membuktikan kehebatan bukan hanya sebagai penyanyi malah sebagai pencipta lagu yang memberi impak besar dalam muzik tempatan.
Lagu ciptaannya Anta Permana nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza bukan sahaja menjadi kegemaran ramai malah turut mendapat penghormatan apabila dimasukkan dalam senarai lagu rasmi King Charles III di Apple Music.
“Apabila saya diberitahu lagu yang saya cipta berada dalam senarai rasmi King Charles saya terdiam. Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” ujarnya.
Tahun lalu Hael juga mencatat kejayaan antarabangsa apabila lagu Diam yang menjadi lagu tema sebuah drama tempatan diiktiraf sebagai Lagu Tema Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AACA) di Singapura.
Dalam dunia fesyen Hael terus menyerlah apabila dijemput ke pentas Milan dan Paris Fashion Week 2025 mewakili jenama terkenal seperti Dolce & Gabbana, Kenzo dan Zegna.
“Saya bukan sekadar ingin dikenali sebagai penyanyi atau komposer tetapi sebagai penggiat seni yang mewakili Malaysia dengan penuh gaya di mana-mana pentas saya berdiri,” jelas Hael lagi.
Mengukuhkan lagi konsep konsert sebagai persembahan seni menyeluruh Hael akan turut disertai empat penyanyi jemputan iaitu Dayang Nurfaizah, Nadeera, Wany Hasrita dan Nabila Razali.
Gabungan ini dijangka menyemarakkan pentas dengan gabungan suara hebat dan gaya persembahan tersendiri.
Hael menyifatkan Dayang sebagai sahabat sejati yang pernah bersamanya di pentas besar manakala Nadeera sebagai bintang muda yang mewakili masa depan muzik Malaysia.
“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami. Dia bukan sahaja seorang penyanyi yang saya kagumi tetapi juga seorang sahabat sejati. Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia. Saya sangat teruja untuk berkongsi pentas bersama mereka berdua,” kata Hael.
Konsert ini bukan sekadar himpunan lagu popular seperti Jampi dan Haram. Ia akan menampilkan susunan muzik baharu, segmen visual sinematik serta pertunjukan fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi estetik Hael sepanjang kerjayanya.
Tiket konsert mula dijual pada 3 Jun 2025 menerusi laman web ticket2u.com.my dengan harga bermula RM120 hingga RM588. Pemilik tiket Platinum akan menerima poster bertandatangan manakala pembeli tiket VIP Box akan menikmati ruang eksklusif untuk 10 orang, pas meet & greet, merchandise rasmi, minuman dan hidangan ringan serta laluan masuk khas.
Konsert ini turut mendapat sokongan media daripada ERA, Sinar dan Gegar sebagai rakan radio rasmi serta Gempak sebagai rakan digital rasmi. Untuk perkembangan lanjut peminat boleh mengikuti media sosial rasmi Hael Husaini dan Rocketfuel Entertainment.
Dengan gabungan elemen muzik, seni dan fesyen Konsert Hael Husaini & Repertoire bakal menjadi malam yang tidak akan dilupakan iaitu sebuah pentas untuk meraikan kreativiti dan bakat anak tempatan dalam gaya penuh elegan.