Hael Husaini & Nadeera Zaini Wakili Malaysia, Tawan Pentas Asian TV Awards
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Hael Husaini dan Nadeera Zaini, artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, mencipta detik gemilang apabila persembahan mereka di 29th Asian TV Awards berjaya menarik perhatian jutaan penonton Asia. Acara berprestij ini berlangsung pada 29 dan 30 November di Jakarta, Indonesia.
Kedua-duanya pada asalnya dijadualkan membuat dua persembahan masing-masing, tetapi kehebatan mereka pada malam pembukaan membawa kepada permintaan istimewa daripada penganjur dan saluran Indosiar.
Hael dan Nadeera tampil sekali lagi pada malam utama dengan lagu tambahan, Kelentang Kelentong dan Bukan Cinta Biasa, menjadikan jumlah persembahan mereka lebih banyak daripada yang dirancang.
Persembahan Hael dengan lagu popular seperti Jampi, Diam, dan Kelentang Kelentong memukau ribuan penonton di lokasi dan hampir 500 juta penonton yang menyaksikan siaran langsung.
Dengan karisma tersendiri, beliau membuktikan mengapa namanya terus menjadi sebutan di kalangan peminat serantau.
Nadeera pula menyerlah dengan lontaran vokal yang memukau menerusi lagu klasik seperti Nirmala dan Bukan Cinta Biasa, serta lagu hitnya Bukan Lagi Kita, yang kini menjadi runut bunyi drama Curang Tanpa Niat.
Persembahannya yang penuh emosi turut mendapat sorakan meriah dan pujian daripada media antarabangsa.
“Saya sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di acara yang berprestij ini. Sambutan luar biasa daripada penonton memberi semangat untuk terus berkarya,” kata Hael.
Nadeera pula menyifatkan peluang ini sebagai penghormatan yang tidak ternilai dan pengalaman luar biasa.
Selain menerima sorakan gemuruh, persembahan mereka turut menarik perhatian selebriti Asia yang hadir, termasuk Luna Maya, Raffi Ahmad, dan Putri Ariani.
Sokongan daripada peminat tempatan dan luar negara membuktikan bahawa muzik Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Anugerah Televisyen Asia terus menjadi platform penting yang mengiktiraf pencapaian cemerlang industri televisyen serantau.
Kejayaan Hael Husaini dan Nadeera Zaini di pentas ini menjadi bukti kebolehan artis Malaysia untuk bersinar di mata dunia.