Ikuti Kami:

Hael Husaini Lengkapkan Konsert Rossa Here I Am Di Malaysia

Hael Husaini Lengkapkan Konsert Rossa Here I Am Di Malaysia

Penyanyi dan penulis lagu terkenal Malaysia, Hael Husaini, bakal melengkapkan barisan artis undangan dalam konsert mega Here I Am yang dianjurkan oleh penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.

Selepas kejayaan luar biasa konsert Here I Am di Indonesia Arena, Jakarta yang disaksikan lebih 12,000 peminat, Hael Husaini dijangka membawa nafas segar dan sentuhan jiwa dalam persembahan yang bakal menghangatkan malam tersebut.

“Hael Husaini merupakan salah seorang artis yang sangat saya hormati dan kagumi. Setiap lagu yang dibawakan Hael penuh dengan ‘rasa’ dan jiwa yang saya cari dalam kolaborasi,” kata Rossa.

Konsert ini juga akan menampilkan kumpulan The Ladies yang dianggotai bintang Indonesian Idol – Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla, sekali gus melengkapkan barisan artis yang menjanjikan malam penuh kenangan untuk peminat.

Selain Hael, Rossa turut akan berduet dengan Ariel Noah dan bergandingan dengan penyanyi terkenal tempatan, Ernie Zakri.

Kelainan dan tenaga muda juga akan dibawa oleh MK K-Clique manakala Dipha Barus, DJ dan produser muzik terkenal, dijangka memberi sentuhan berbeza dalam persembahan.

Konsert Here I Am adalah simbolik penghormatan Rossa kepada peminat setianya di Malaysia, negara kedua selepas Indonesia yang menjadi saksi perjalanan muziknya selama hampir tiga dekad.

Rossa juga akan menampilkan Top 4 One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen dalam persembahan khas.

Tiket konsert bermula daripada harga RM228 sehingga RM788 (tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran) boleh diperoleh melalui platform www.ticket2u.com.my.

Komen
Loading...