Ikuti Kami:

Hael Husaini Janji Persembahan Penuh Emosi dan Kelainan di Hael Husaini Antonim Night

Hael Husaini Janji Persembahan Penuh Emosi dan Kelainan di Hael Husaini Antonim Night

Penyanyi dan komposer terkenal Hael Husaini berjanji akan menghadirkan sebuah persembahan yang penuh emosi dan kelainan menerusi showcase eksklusif bertajuk Hael Husaini Antonim Night, yang bakal berlangsung pada 31 Mei 2025, jam 8.30 malam di Nero Event Space, PJPAC 1Utama.

Acara yang dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan MASK Team bersama Datuk Adzliana Hasan dan Shawn Amer ini hanya membuka ruang kepada 300 penonton — menjanjikan suasana intim dan lebih dekat dengan peminat setia Hael.

Tiket ke Hael Husaini Antonim Night terjual habis dalam masa hanya 17 minit selepas dibuka secara dalam talian pada 1 Mei, menandakan sambutan luar biasa terhadap persembahan ini. Bagi Hael, respons itu adalah satu bentuk penghargaan yang amat bermakna.

“Saya sebenarnya agak terkejut dan rasa berpusat hati. Terima kasih kepada semua yang membeli tiket dalam masa 17 minit. Ini adalah impian saya sebagai seorang penghibur untuk menjayakan sebuah showcase seperti ini,” kata Hael.

Menurut penyanyi Jampi itu, Hael Husaini Antonim Night bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya satu pengalaman peribadi yang sarat dengan emosi dan makna.

“Saya mengharapkan mereka yang hadir membawa pulang sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Setiap persembahan saya pastinya berbeza – dan malam itu juga tidak akan sama seperti yang sebelumnya,” tambahnya.

Dibantu oleh pengarah muzik Sze Wan, Hael Husaini Antonim Night dijangka menampilkan susunan muzik yang unik serta penghayatan yang lebih mendalam terhadap karya-karya Hael dari album Antonim Pt. I seperti Diam, Kejora, Usia termasuk lagu-lagu popular seperti Haram dan banyak lagi.

Acara ini turut mendapat sokongan daripada Virus Ungu dan Rocketfuel sebagai rakan penaja, M World Hotel selaku hotel rasmi, dan Astro Gempak sebagai media digital rasmi.

Hael Husaini mula dikenali menerusi Akademi Fantasia musim ke-4, dan kemudian mengukuhkan namanya dalam industri muzik Malaysia dengan karya-karya yang bukan sahaja menjadi siulan ramai, malah juga menjuarai pentas Anugerah Juara Lagu.

Keistimewaannya bukan hanya terletak pada suara, tetapi juga sentuhan kreatif sebagai pencipta lagu.

Dengan pendekatan persembahan yang lebih ‘intim’, Hael Husaini Antonim Night dijangka menjadi sebuah malam yang akan terus terpahat dalam ingatan para peminatnya.

Komen
Loading...