Hael Husaini Hadiahkan Malam Penuh Emosi kepada 300 Peminat Setia
- oleh Mohd Indera
- 3 hari lalu

Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, berjaya menghidupkan malam penuh emosi dan keindahan muzik menerusi Hael Husaini Antonim Night yang berlangsung di Nero Event Space, PJPAC 1Utama, malam tadi.
Acara istimewa anjuran Usanita Entertainment dan MASK Team itu dihadiri oleh 300 penonton bertuah yang menyaksikan bukan sekadar sebuah showcase, tetapi juga satu pengalaman peribadi dan seni daripada Hael.
Hael membuka pentas dengan lagu Hero, sebelum meneruskan malam dengan deretan lagu-lagu dari album Antonim seperti Kejora, Usia, Please dan Sama Seperti Dulu.
Beliau turut mempersembahkan dua lagu dari album Antonim Part II secara eksklusif iaitu Hilang Tanpa Bilang dan memberi gambaran awal kepada arah muzik baharu yang bakal dibawakan.
Turut diselitkan ialah persembahan medley Anugerah Terindah dan Putri Iklan , serta gabungan lagu popular Jampi dan Hajat, diikuti dengan Haram, Diam, dan diakhiri dengan penuh bertenaga menerusi lagu Kelentang-Kelentong.
Sepanjang persembahan, Hael memperlihatkan kematangan vokal dan ekspresi emosi yang mendalam, diiringi susunan muzik istimewa hasil sentuhan pengarah muzik Sze Wan. Persembahan itu turut diserikan dengan pencahayaan dan visual yang memperkuatkan naratif setiap lagu.
Dalam sidang media selepas persembahan, Hael atau nama lengkapnya Hal Husaini Razmi meluahkan rasa terharu dengan sambutan yang diterima.
“Saya rasa agak terkejut sebenarnya dengan semua sambutan dan juga orang yang datang memberi saya satu semangat yang baru untuk fasa yang baru, di mana album Antonim Part II akan keluar. Terima kasih kepada mereka semua yang datang, terutama sekali semua rakan media yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Showcase ini turut mendapat sokongan daripada Virus Ungu dan Rocketfuel selaku penaja, M World Hotel sebagai hotel rasmi, serta Astro Gempak sebagai media digital rasmi.
Hael Husaini yang mula mencipta nama menerusi Akademi Fantasia musim keempat kini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang penghibur paling berpengaruh di Malaysia dengan karya-karya yang bukan sahaja popular, malah menyentuh hati.