“Hadirmu Ramadhan” Refleksi Pencarian Ketenangan Jiwa Black Hanifah, Nukilan Bersama Hazama
- oleh MDaily Editor
- 19 Feb 2026 7:25 pm
Penyanyi popular, Black Hanifah kembali mengubat rindu peminat dengan naskhah terbaharu bertemakan kerohanian, “Hadirmu Ramadhan”. Single yang menyentuh sanubari ini merupakan sebuah karya reflektif yang menterjemahkan rasa kesyukuran dan pencarian ketenangan jiwa dalam menyambut bulan mulia.
Menariknya, lagu ini bukan sahaja menampilkan suara unik Black, malah turut mendapat sentuhan kreatif penyanyi Hazama yang bertindak sebagai penulis lirik bersama menggunakan nama pena, Kadok.
Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, inspirasi “Hadirmu Ramadhan” tercetus daripada suasana syahdu bulan tersebut yang sering kali melembutkan hati manusia dan membawa mereka kembali bermuhasabah.
“Lagu ini bersifat sangat peribadi. Ia adalah dialog antara seorang insan dengan Penciptanya. Saya ingin berkongsi bagaimana Ramadan bukan sekadar bulan untuk beribadat, tetapi ruang untuk kita mencari semula fitrah dan ketenangan diri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menceritakan mengenai kolaborasi bersama Hazama, Black menjelaskan bahawa kerjasama itu berlaku secara spontan apabila beliau memperdengarkan demo lagu tersebut kepada rakannya itu.
Perbincangan santai akhirnya membawa kepada penambahbaikan lirik agar lebih selari dengan emosi dan melodi yang dibina.
Antara cabaran utama dalam penghasilan single ini adalah untuk memastikan mesej yang disampaikan kekal ikhlas tanpa kedengaran klise, memandangkan tema Ramadan sering diangkat dalam industri muzik tanah air.
“Hadirmu Ramadhan” tidak sarat dengan elemen keraian, sebaliknya lebih menumpukan kepada elemen kesyahduan, doa, dan peluang kedua yang ditawarkan oleh bulan penuh rahmat ini.
Muzik video (MV) rasmi “Hadirmu Ramadhan” boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada 20 Februari ini jam 3.00 petang. Manakala, bagi peminat yang ingin menikmati audio sepenuhnya, lagu ini akan tersedia di semua platform penstriman digital bermula 24 Februari 2026.




