Ikuti Kami:

Hadiah Buat Peminat: Dato’ Aishah Kembali Dengan “Taman Keabadian”

Hadiah Buat Peminat: Dato’ Aishah Kembali Dengan “Taman Keabadian”

Selepas sekian lama tidak tampil dengan karya baharu, penyanyi tersohor negara, Dato’ Aishah, kembali dengan buah tangan istimewa buat peminat setianya menerusi single berjudul Taman Keabadian.

Ciptaan komposer muda berbakat, Senna, lagu ini mengetengahkan tema kasih, kehilangan dan kerinduan yang membalut jiwa. Ia menyelami harapan tentang pertemuan semula di alam abadi, menjadikannya sebuah karya balada yang menyentuh perasaan.

Dato’ Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah binti Wan Ariffin memulakan kerjaya muzik secara profesional sebagai vokalis kumpulan Aishah & The Fan Club di New Zealand sekitar akhir 1980-an sebelum kembali ke tanah air dan mengukuhkan nama sebagai penyanyi solo.

Dengan lagu-lagu malar segar seperti Janji Manismu, Bahtera Merdeka, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah, beliau terus menjadi ikon industri muzik Malaysia.

Mengulas lanjut, lagu Taman Keabadian ini diilhamkan daripada rasa rindu yang mendalam terhadap insan-insan yang telah pergi terlebih dahulu.

“Hanya keyakinan bahawa kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati,”

“Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti akan menyusul, dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” katanya.

Lagu ini turut membawa mesej kekuatan buat mereka yang pernah melalui pengalaman kehilangan. Bagi Dato’ Aishah, lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi hadir sebagai peneman doa dan pengubat hati.

“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi,”

“Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan penguat semangat kepada sesiapa yang memerlukan kekuatan untuk terus melangkah. Ini adalah hadiah ikhlas saya buat anda semua,” jelasnya.

Komposer lagu tersebut, Senna, menyatakan bahawa karya ini sangat peribadi buat dirinya dan secara khusus dicipta untuk disampaikan oleh Dato’ Aishah.

“Lagu ini menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh dengan penghayatan dan nilai spiritual,”

“Saya yakin hanya Dato’ Aishah sahaja yang mampu menyampaikan roh lagu ini dengan mendalam. Beliau menyanyi bukan dengan suara semata-mata, tetapi dengan seluruh jiwa,” katanya.

“Melihat Dato’ Aishah memberi nyawa kepada lirik dan melodi saya adalah satu penghormatan besar,” tambahnya.

Kini aktif di Instagram dan TikTok menerusi akaun @aishahjmm, Dato’ Aishah juga memperkenalkan semula versi remastered lagu-lagu klasiknya untuk dinikmati generasi baharu.

Single Taman Keabadian boleh distrim di semua platform digital bermula 8 Ogos 2025.

Komen
Loading...