KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam akhirnya ditemui pagi tadi di Pelangi Damansara, Petaling Jaya.
Gya Natasya Abdullah, 18, dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi ibunya, Johan Nazira Mohamed Nazib, yang mengatakan Gya kehilangan telefon bimbitnya ketika menaiki kereta e-hailing setelah turun dari MRT Stesen TTDI.
Gya meminta pemandu grab menunggunya untuk mencari telefon, tetapi pemandu itu meninggalkannya. Kemudian, sebuah kereta hitam dengan dua lelaki dan seorang wanita menawarkan bantuan, namun Gya ditinggalkan di kawasan gelap dan sunyi di Damansara.
“Dia kemudian berjalan dan cari orang untuk meminta bantuan sebelum menemui satu wanita di Pelangi Damansara, yang meminjamkannya telefon bimbit sebelum dia menghubungi saya untuk mengambilnya,” tambahnya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, mengesahkan Gya Natasya kini selamat bersama ibunya.
“Ibunya belum membuat laporan polis mengenai penemuan tersebut,” katanya.
Terdahulu, kehilangan Gya Natasya tular di media sosial sejak malam tadi selepas keluar dari rumah di Taman Matang Jaya, Sungai Buloh untuk menuju ke tempat kerja di Cheras.