Gundik Bawa Kisah Seram Dari Indonesia Ke Pawagam Malaysia Mulai 24 Julai Ini
- oleh Mohd Indera
- 22 Jul 2025 1:40 pm

Peminat filem seram tempatan bakal disajikan dengan sebuah lagi naskhah penuh debaran apabila TGV Pictures membawakan filem Gundik dari Indonesia yang akan menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 24 Julai 2025.
Filem arahan Anggy Umbara ini menampilkan pelakon popular seperti Luna Maya, Maxime Bouttier, Agus Kuncoro, Rukman Rosadi, Safira Ratu Sofya dan Arief Didu.
Menggabungkan elemen seram, jenayah dan mistik, Gundik menjanjikan pengalaman menonton yang penuh kejutan dan menegangkan.
Gundik mengisahkan tentang empat pencuri yang merancang untuk memecah masuk sebuah rumah agam mewah yang dimiliki oleh seorang wanita misteri bergelar Nyai, seorang gundik yang dikenali kerana kecantikan dan kedudukannya di sisi golongan berpangkat tinggi.
Namun, apa yang mereka sangka sebagai peluang untuk meraih kekayaan mudah bertukar menjadi igauan ngeri apabila rumah tersebut menyimpan rahsia gelap yang dihuni oleh kuasa ghaib yang menuntut balasan.
Filem berdurasi 112 minit ini mengangkat kisah misteri dan unsur mistik yang dekat dengan budaya masyarakat Nusantara, menjadikan Gundik lebih menarik buat penonton tempatan.
Tayangan perdana Gundik diadakan pada 21 Julai lalu bertempat di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat filem seram.
Lebih menarik, bermula 28 Jun hingga 24 Julai 2025, TGV Cinemas turut menawarkan pelbagai promosi menarik termasuk hadiah eksklusif seperti Mobile Legends Bang Bang Diamonds kepada penonton yang membeli tiket awal.
Menurut TGV Pictures, kehadiran Gundik ke pawagam tempatan dijangka mendapat perhatian peminat genre seram yang menggemari kisah berlatarkan misteri, wanita, hantu serta sumpahan yang berkait rapat dengan adat dan budaya.
Untuk maklumat lanjut atau pembelian tiket, orang ramai boleh melayari laman web rasmi tgv.com.my.