Ikuti Kami:

Guna Teknologi AI, TERAS Perkukuh Strategi Hadapi PRU – Nurul Izzah

Guna Teknologi AI, TERAS Perkukuh Strategi Hadapi PRU – Nurul Izzah

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengorak langkah memperkasakan persediaan pilihan raya dengan pelancaran sistem pengurusan “TERAS”, sebuah platform digital berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang direka khusus untuk memperkemas gerak kerja jentera parti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata pembangunan sistem tersebut merupakan manifestasi penghargaan terhadap pengorbanan anggota parti yang selama ini menjadi tulang belakang gerakan di peringkat akar umbi.

“Alhamdulillah, kita tahu ramai anggota parti berjuang berpenat lelah walaupun pemimpin silih berganti. Hari ini adalah masa untuk kita memberi kembali kepada anggota dengan memperkenalkan sistem berteknologi canggih berteraskan AI milik KEADILAN,” katanya semasa Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya: “TERAS” di sini, semalam.

Nurul Izzah, yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, menjelaskan bahawa sistem TERAS dibina berasaskan empat elemen utama bagi memastikan pengurusan kempen lebih sistematik.

Ini termasuk pusat arahan yang dikenali sebagai “Nexus” untuk pemantauan rapi pengurus kempen, serta elemen “Pulse” yang berfungsi sebagai nadi pengumpulan data lapangan bagi menganalisis isu-isu semasa rakyat dengan lebih tepat.

“Pulse memerlukan jentera turun padang, memasukkan data (key in), dan di peringkat bilik gerakan (back room) kita dapat menganggarkan isu yang sedang dibawa. Pendekatan ini penting bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat,” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau bersikap realistik dengan menyatakan bahawa penggunaan teknologi tersebut bukan jaminan mutlak kemenangan, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin kekuatan jentera.

“Sudah tentu ia tidak sempurna tetapi ia mampu memperkuat gerakan jentera di bawah. Ia akan memudah urus segala urusan pilihan raya dan memastikan penat lelah jentera diintegrasikan dalam satu sistem,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut memberi peringatan mengenai cabaran penyebaran maklumat palsu dalam era AI yang boleh mengelirukan pengundi.

“Dalam era AI ini juga penipuan banyak, penipuan yang paling kuat adalah (yang dianggap) kebenaran yang sesungguhnya,” tambah beliau, sambil menekankan kepentingan integriti data dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.