Ikuti Kami:

‘Goyang Raya’ Angkat Seni Tradisional, 100,000 Tontonan Dalam Dua Hari

‘Goyang Raya’ Angkat Seni Tradisional, 100,000 Tontonan Dalam Dua Hari

Tahun 2026 membuka tirainya dengan nota harmoni yang cukup istimewa apabila sambutan Tahun Baru Cina berlangsung seiring dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia.

Mengambil semangat pertembungan dua perayaan besar ini, kumpulan 1119 (TRIPLE1NINE) tampil dengan karya terbaharu mereka, “Goyang Raya”, yang kini menjadi fenomena baharu dalam industri muzik tanah air.

Kolaborasi mantap antara 1119 bersama Meer Nash, Aniez, dan Zac Zac ini bukan sekadar mencuri tumpuan, malah berjaya meraih hampir 100,000 tontonan di YouTube dalam tempoh hanya dua hari pelancarannya.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa muzik mampu menjadi ejen penyatuan yang ampuh, menterjemahkan keharmonian kaum di Malaysia melalui asimilasi unik antara resonansi muzik tradisional dan elemen moden yang santai.

Proses penghasilan lagu ini melibatkan barisan penyanyi, produser, dan bakat kreatif daripada pelbagai latar belakang etnik yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan mesej perpaduan tersampaikan dengan berkesan.

Salah seorang anggota 1119, Eugene, mengakui bahawa cabaran terbesar adalah mendalami tarian tradisional Melayu.

“Mempelajari tarian tradisional Melayu adalah sukar kerana ia memerlukan kelembutan dan keanggunan yang sangat berbeza daripada persembahan K-pop atau Tahun Baru Cina kami. Namun, kami benar-benar menggemari pengalaman ini,” ujarnya.

Bagi Zac Zac pula, suasana di lokasi penggambaran video muzik (MV) memberikan impak besar kepada hasil akhir karya tersebut.

“Suasana di set sangat meriah dan penuh dengan tenaga positif. Saya harap apabila orang ramai menontonnya, mereka dapat merasai kemeriahan dan kemesraan Raya seperti yang kami alami semasa penggambaran,” katanya.

Sementara itu, Meer Nash yang sudah 11 tahun berada dalam industri muzik menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu langkah yang tepat, apatah lagi ia adalah lagu raya pertama yang pernah dirakamkannya.

“Goyang Raya adalah lagu Raya pertama saya. Ia benar-benar mewakili siapa saya sebagai anak campuran Melayu dan Cina. Saya suka bagaimana ia menunjukkan sisi berbilang kaum di negara kita. Apa yang membuatkan saya bersetuju dengan projek ini bukan sahaja kerana lagunya yang menarik, malah melodi dan koreografinya yang unik,” jelasnya.

Sebelum ini, kumpulan 1119 pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu 福气马上来 (Good Fortune Comes Soon) sempena Tahun Baru Cina yang mencatatkan 11 juta tontonan dan menjadi lagu tema di pelbagai pasar raya seluruh negara.

Melalui “Goyang Raya”, 1119 sekali lagi membuktikan bahawa memori pulang ke desa dan kerinduan terhadap suasana kampung adalah nilai yang tidak ternilai harganya, sekali gus mengukuhkan lagi semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang bersatu padu menerusi irama dan budaya.

Loading...