Ikuti Kami:

Google Pixel 9 Pro Kini Tersedia di Malaysia: Saiz Kompak dan Tawaran Menarik

Google Pixel 9 Pro Kini Tersedia di Malaysia: Saiz Kompak dan Tawaran Menarik

Sewaktu pengumuman siri Pixel 9 untuk pasaran Malaysia, hanya dua varian yang diperkenalkan, iaitu Pixel 9 dan Pixel 9 Pro XL, manakala varian pertengahan, Pixel 9 Pro, dijadualkan untuk dilancarkan pada tarikh akan datang.

Hari itu kini tiba, kerana Urban Republic, pengedar sah produk Google Pixel, telah mengesahkan senarai penjualan untuk varian ini.

Untuk pertama kalinya, varian Pro hadir dalam saiz yang lebih kecil, membolehkan pengguna menikmati kehebatan Google Gemini dalam pakej yang lebih kompak.

Berikut adalah senarai harga jualan Google Pixel 9 Pro di Malaysia, berdasarkan pilihan storan serta promosi yang ditawarkan:

128GB – RM4,299 (Harga asal RM5,199)
256GB – RM4,799 (Harga asal RM5,699)
512GB – RM5,399 (Harga asal RM6,299)

Pixel 9 Pro menawarkan semua kelebihan varian XL, kecuali untuk saiz skrin dan kapasiti bateri. Telefon ini dilengkapi dengan panel paparan 6.3 inci yang masih menggunakan teknologi OLED Super Actua LTPO dengan resolusi FHD+. Kapasiti bateri Pixel 9 Pro adalah 4,700mAh dengan pengecasan berkuasa 45W.

Anda juga akan menemukan konfigurasi trikamera belakang yang sama. Ia dilengkapi dengan kamera 50MP + 48MP + 48MP di belakang, dan 42MP untuk mengambil gambar selfie. Semua model dalam siri Google Pixel 9 akan menerima kemas kini Android selama 7 generasi serta tampalan keselamatan bulanan selama 7 tahun, satu tawaran yang dibanggakan oleh Google.

Selain itu, setiap pembelian dalam siri Pixel 9 akan menerima langganan percuma Gemini Advanced bersama 2TB Google Drive untuk tempoh 1 tahun. Untuk makluman, yuran bulanan bagi langganan Gemini Advanced adalah RM97.99.

Komen
Loading...