Ikuti Kami:

‘Good Boys Go To Heaven’ Papar Tragedi Kehilangan Anak

‘Good Boys Go To Heaven’ Papar Tragedi Kehilangan Anak

Jenama kandungan premium, Astro Originals, kembali menggegar industri seni tanah air dengan naskhah terbaharu bertajuk Good Boys Go To Heaven. Siri thriller psikologi terbitan Astro Shaw ini bakal memaparkan sisi gelap trauma dan tragedi yang cukup meruntun jiwa penonton.

Naskhah yang dijadualkan menemui penonton bermula 8 Mei ini, mempertaruhkan gandingan sulung pelakon berkaliber, Beto Kusyairy dan Zahirah Macwilson.

Mereka menggalas tanggungjawab berat sebagai Yasser dan Dahlia, pasangan suami isteri yang terpaksa berhadapan dengan igauan ngeri setiap ibu bapa apabila anak lelaki mereka, Ahyan, dilaporkan hilang.

Penceritaan semakin memuncak apabila pencarian Ahyan berakhir dengan penemuan jasad kanak-kanak itu dalam keadaan yang cukup tragis dan kejam.

Siri ini merupakan hasil garapan penulis skrip terkemuka dan pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM), Mira Mustaffa, yang bertindak sebagai showrunner.

Manakala, kerusi pengarah pula diisi oleh Ariff Zulkarnain, yang sebelum ini meraih pujian menerusi karya One Cent Thief 2.

Penerbit Eksekutif Good Boys Go To Heaven, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan naskhah ini sebagai usaha berani Astro Shaw dalam mengembangkan penceritaan yang lebih relevan dan berkualiti tinggi.

“Kami menyedari isu kehilangan kanak-kanak semakin membimbangkan di negara kita. Kami berharap naskhah ini dapat menjadi satu peringatan kepada semua agar kisah-kisah tragis seperti ini tidak hanya muncul seketika di dada berita sebelum terus dilupakan,” katanya.

Selain Beto dan Zahirah, siri ini turut diperkuatkan dengan penampilan barisan pelakon hebat termasuk Firdaus Karim (Bahamin), Malek McCrone (Zayd), serta Amerul Affendi yang memegang watak sebagai Inspektor Kamal.

Turut terlibat adalah Amanda Ang (Sarjan Leona), Sky Iskandar (Ustaz Reyhan), dan memperkenalkan bakat cilik baharu, Sayf Mikael sebagai Ahyan. Produksi di bawah kendalian Indigo Film ini menjanjikan kualiti produksi setanding karya antarabangsa.

Bagi peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan debaran ini, Good Boys Go To Heaven akan ditayangkan bermula 8 Mei 2026.

Penonton boleh memilih untuk menyaksikannya seawal jam 12.00 tengah malam menerusi platform On Demand (Astro GO) dan aplikasi Sooka.

Manakala, tayangan perdana di televisyen akan disiarkan pada jam 9.00 malam setiap Jumaat di saluran Astro Ria (104) dan Astro Citra (108).