Golf Amal Selangor 2026: Transformasi Belia Melalui TVET YRMS
- oleh MDaily Editor
- 26 Jan 2026 2:02 pm
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi agenda utama dalam memperkasakan belia di Selangor menerusi penganjuran kejohanan Golf Amal Selangor 2026.
Program yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club semalam, bermatlamat mengumpul dana bagi menyokong inisiatif pembangunan belia di bawah naungan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).
YRMS dalam satu kenyataan berkata, hasil kutipan dana tersebut akan disalurkan sepenuhnya bagi menyediakan bantuan latihan, kemahiran, serta peluang pembangunan kerjaya khususnya kepada belia yang bermastautin di negeri ini.
“Fokus utama YRMS adalah membantu golongan belia daripada latar belakang berpendapatan rendah dan terpinggir dengan membekalkan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi membentuk modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdikari serta berdaya saing dalam pasaran pekerjaan, terutama bagi mereka yang kurang cenderung dalam bidang akademik,” kata kenyataan itu.

Penganjuran edisi kali ini turut mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap peranan YRMS apabila mendapat sokongan padu daripada pelbagai syarikat besar.
Antara rakan penaja yang terlibat termasuklah Mazda, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bermaz Auto Berhad, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., Adidas, F&N, serta KK Group.
Selain penglibatan pemain golf dan sektor korporat, suasana program turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan ikon bola sepak negara seperti Safee Sali, Farizal Marlias, Zaquan Adha, Razman Roslan, dan Wan Zack Haikal.
Kehadiran bintang sukan ini bertujuan memberi inspirasi kepada golongan belia agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Untuk rekod, YRMS telah diasaskan pada tahun 2003 oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum legasi naungan Diraja itu diteruskan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun 2017.
Yayasan itu komited menjalankan kerjasama strategik bersama institusi TVET dan pemain industri bagi memastikan setiap latihan yang ditawarkan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi untuk masa depan belia.




