Glocal Travel Umum Fasa Pra-Francais, Sedia Revolusi Industri Umrah dan Haji
- oleh MDaily Editor
- 17 Apr 2026 7:57 pm
Agensi pelancongan umrah dan haji, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd (Glocal Travel), hari ini melancarkan fasa pra-francais sebagai langkah strategik ke arah mentransformasikan industri pengurusan jemaah di Malaysia dengan model perniagaan yang lebih tersusun dan telus.
Pelancaran awal ini menandakan kesiapsiagaan syarikat untuk beralih ke arah model francais penuh selepas berjaya menamatkan bimbingan di bawah Program Pernas Xcelerator, sebuah inisiatif oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Ketua Pegawai Eksekutif Glocal Travel, Dato’ Hj Md Idzham Bin Hj Isa, berkata fasa pra-pelancaran ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam mengenai hala tuju baharu syarikat yang kini dalam proses akhir mendapatkan kelulusan lesen francais daripada kementerian berkaitan.

”Kami mahu memperkenalkan sistem yang lebih sistematik bagi mengelakkan isu ketirisan dan penipuan jemaah yang sering berlaku dalam industri. Melalui model francais ini, setiap Standard Operating Procedure (SOP), sistem latihan, dan tadbir urus akan diseragamkan di bawah perlindungan Akta Francais.
”Pihak kami kini sedang menunggu kelulusan akhir daripada kementerian untuk menentukan model yang sesuai sebelum majlis pelancaran dan pemeteraian rasmi dilakukan dalam tempoh satu ke dua bulan lagi,” katanya pada sidang media di Menara PERNAS, di sini, hari ini.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengerusi Pernas, Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib.
Sementara itu, Datuk Mohamed Rozhan berkata, kerjasama dengan Glocal Travel membuktikan kreativiti Pernas dalam meluaskan portfolio francais ke luar bidang makanan dan minuman (F&B) yang kini merangkumi industri perkhidmatan profesional.
”Kajian kami mendapati masalah utama jemaah seperti kegagalan mendapatkan bilik hotel atau tiket penerbangan berpunca daripada pengurusan yang tidak cekap. Dengan model francais, franchisee (penerima francais) akan menggunakan kekuatan jenama dan sistem franchisor (pemberi francais) yang sudah lengkap bagi memastikan isu tersebut tidak berulang,” jelas beliau.
Mengulas mengenai pelan pengembangan, Dato’ Idzham menyasarkan sebanyak 50 cawangan francais akan dibuka di seluruh negara dalam tempoh setahun pertama selepas pelancaran rasmi.
Bagi musim haji tahun ini, Glocal Travel mencatatkan peningkatan jemaah sekali ganda iaitu seramai 150 orang berbanding 78 orang pada tahun lalu. Kumpulan pertama jemaah haji syarikat tersebut dijadualkan berlepas pada 1 Mei ini merangkumi lima penerbangan secara keseluruhan.
