
Foto Oleh: Papadin.
Suasana di Zepp Kuala Lumpur pada malam semalam menyaksikan satu momen luar biasa apabila figura legenda Indonesia, Glenn Fredly, “kembali hidup” di pentas menerusi teknologi holografik dalam konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia.
Konsert berdurasi hampir tiga jam itu turut menampilkan barisan artis hebat seperti Noh Salleh Nadira Adnan Rian Ekky Pradipta Gretchen Quirina Matthew Sayersz dan Allan Anderson yang menyampaikan semula lagu-lagu Glenn dengan penuh penghormatan.
Persembahan maya ini disokong sepenuhnya oleh kumpulan muzik asalnya The Bakuucakar serta produksi pentas yang cemerlang.
Namun bintang sebenar malam itu tetap hologram Glenn yang berjaya menghidupkan kembali kehangatan suara dan pesonanya kepada peminat.
Pentas dipenuhi dengan aura nostalgia dan emosi sebaik sahaja hologram Glenn muncul menyampaikan lagu-lagu hitnya seperti Kasih Putih, Terserah, Sedih Tak Berujung dan Cinta dan Rahasia, seolah-olah beliau masih berada di hadapan peminat.
Bella Astillah
Lagu Cinta dan Rahasia, salah satu karya duet Glenn yang paling dikenang, turut dipersembahkan dengan penuh emosi bersama penyanyi undangan Malaysia Bella Astillah.
Suara Bella menyatu indah dengan nyanyian hologram Glenn mencipta suasana mendalam dan menyentuh hati seluruh dewan.
Antara momen paling menyentuh perasaan malam itu ialah persembahan lagu Itu Saja yang menyatukan kembali Glenn dan isterinya Mutia Ayu di atas pentas.
“Lagu ini kami rakam setahun sebelum Glenn pergi. Ia tidak sempat dikeluarkan ketika beliau masih ada dan hanya dilancarkan setahun selepas pemergiannya. Lagu ini adalah hadiah ulangtahun perkahwinan kami. Malam ini saya nyanyikan semula lagu ini untuk Glenn bersama Glenn…” katanya.
Glenn, Mutia dan anak perempuan mereka, Gewa.
Dengan suara yang bergetar menahan sebak Mutia kemudian memulakan duet yang penuh makna berlatarkan hologram Glenn yang “menyambut” nyanyiannya. Penonton tidak dapat menahan air mata melihat penyatuan semula pasangan ini dalam bentuk yang sangat peribadi dan simbolik.
Antara lagu yang mendapat sorakan luar biasa ialah Januari yang disambut oleh laungan dan nyanyian bersama ribuan penonton menghidupkan semula kenangan lama yang tersimpan di hati mereka.
Sebagai penutup lagu Kasih Putih dipenuhi emosi dan cahaya lampu telefon yang bergoyang perlahan mewujudkan suasana syahdu dan penuh penghargaan buat insan seni yang telah pergi tetapi suaranya kekal abadi.
The Bakuucakar
Glenn Fredly meninggal dunia pada 8 April 2020 di Jakarta pada usia 44 tahun akibat komplikasi meningitis. Pemergiannya mengejutkan ramai peminat dan rakan industri muzik di seluruh Nusantara.
Glenn bukan sahaja dikenang sebagai penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar tetapi juga aktivis sosial yang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan dan hak minoriti.
Menyokong Glenn sepanjang perjalanan seninya ialah The Bakuucakar iaitu kumpulan pemuzik handalan yang telah bersama beliau sejak tahun 2006.
Kumpulan ini menjadi tulang belakang persembahan Glenn sepanjang karier solonya selepas keluar daripada kumpulan Funk Section.
Konsert ini dianjurkan oleh Premier Live Productions dan MataHati Live ini membuktikan bahawa teknologi dan seni boleh bergabung untuk menghidupkan kembali warisan seorang legenda.