Dalam pendedahan terkini, Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) telah mendedahkan sisi gelap GISBH, termasuk amalan sesat seperti ‘transfer power’ melalui udara dan arahan menceraikan isteri untuk menguji ketaatan para pengikutnya.
Menurut kenyataan PUKAS di Facebook, jemaah GISBH didoktrin untuk sentiasa taksub kepada pemimpin mereka, di mana setiap bahagian tubuh dan sisa pemimpin dianggap membawa keberkatan.
“Nasiruddin Ali memperkenalkan ajaran baru yang belum pernah diamalkan dalam GISBH sebelum ini, iaitu transfer power berkat melalui udara. Para Ahli Lembaga Penasihat GISBH bersama Nasiruddin akan berperanan sebagai transmitter dengan mengangkat tangan ke langit.”
“Manakala ahli-ahli lain menjadi receiver dengan menghalakan tangan ke langit untuk menyambut power berkat pemimpin,” tulis PUKAS.
Amalan ini dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti mereka terbatas untuk bertabarruk dengan pemimpin.
Selain itu, jemaah ini turut mengamalkan peraturan yang dianggap keterlaluan, di mana setiap ahli perlu patuh tanpa soal, termasuk diperlakukan seperti hamba.
Bekas pemimpin GISBH juga mendedahkan bahawa organisasi tersebut menggunakan tenaga manusia tanpa memberikan gaji, dengan anggapan bahawa makanan dan tempat tinggal adalah mencukupi.
Terdapat juga peraturan yang mengarahkan suami menceraikan isteri sebagai ujian ketaatan kepada jemaah.
“Ini dilakukan secara berjemaah dan beramai-ramai, di bawah pengawasan seorang pemimpin yang merupakan anak pengasas syarikat,” jelas PUKAS.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mendedahkan bahawa ahli jemaah yang taat dengan peraturan dan arahan pemimpin akan ‘dihadiahkan’ seorang isteri dan dinaikkan pangkat sebagai ketua.
“Sebab itulah, apabila polis menyiasat beberapa individu termasuk pemimpin atasan GISBH, mereka didapati mempunyai lebih daripada dua isteri. Bagi yang ingkar pula, mereka diugut dan tidak dibenarkan keluar dari jemaah,” tambahnya.
Pada 11 Sept lepas, polis mengadakan Op Global yang menyaksikan serbuan terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dikaitkan dengan GISBH yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.