KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH) dan isterinya antara ditahan polis dalam Op Global susulan laporan rumah amal kendalian syarikat itu didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.
Penahanan itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan maklumat lanjut akan diumumkan nanti.
Sementara itu menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber, difahamkan setakat ini seramai 19 orang termasuk pemimpin jemaah itu ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di beberapa lokasi.
“Selain CEO terbabit, turut ditahan isterinya serta dua anaknya bagi membantu siasatan.
“Turut difahamkan, individu lain yang ditahan adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad,” katanya.
Sumber berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan 12 lelaki dan tujuh wanita berusia 30 hingga 65 tahun.
Perintah reman terhadap semua mereka berusia 30 sehingga 41 tahun itu dilakukan sebaik permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.
Razarudin berkata, mereka direman bagi melengkapkan siasatan yang sedang dilakukan polis terhadap syarikat berkenaan.
“Reman bermula hari ini sehingga Rabu ini (25 September),” katanya.
Sebelum ini polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.