Ikuti Kami:

GISB: Guru Agama Dipenjara 10 Tahun Kerana Mendera Kanak-Kanak

GISB: Guru Agama Dipenjara 10 Tahun Kerana Mendera Kanak-Kanak

KLANG – Seorang guru agama yang tular kerana mendera kanak-kanak di rumah amal GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang.

Muhammad Barur Rahim Hisam, 23 tahun, mengaku bersalah atas empat pertuduhan mendera tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun. Tindakan kejamnya termasuk merotan dan menekan dada seorang mangsa dengan lutut.

Kesalahan ini dilakukan di dua premis di Bukit Raja, Klang Utara pada Jun, Julai, dan September. Tertuduh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000. Hukuman berjalan secara berasingan dari tarikh tangkapan pada 11 September.

Tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf.

“Saya benar-benar insaf dan tekad serta berazam tidak mengulangi lagi kesalahan,” kata Muhammad Barur.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh, memohon hukuman maksimum kerana kes serius ini memberi kesan mendalam kepada mangsa yang trauma.

Kes ini disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas video penderaan tular di media sosial. Mangsa dalam video itu, yang telah dipisahkan daripada bapanya sejak 2021, diselamatkan bersama kanak-kanak lain.

Komen
Loading...