Ikuti Kami:

Gimnasium, Dewan Badminton, Pusat Snuker Dibenarkan Beroperasi Bermula 15 Jun

Gimnasium, Dewan Badminton, Pusat Snuker Dibenarkan Beroperasi Bermula 15 Jun

Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula sektor sukan termasuk gimnasium, dewan badminton, kompleks sukan pelbagai dan pusat snuker bermula 15 Jun 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, pengusaha pusat sukan perlu mengisi borang pemakluman terlebih dahulu melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan Prosedur Operasi Standard (SOP) pembukaan.

“Selain itu, ia bertujuan sebagai pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan borang notifikasi boleh diakses bermula hari ini, 8 Jun 2020 di https://notification.miti.gov.my/

“Mesyuarat juga bersetuju untuk memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan (non-contact), di dalam atau luar dewan (indoor and outdoor facilities) bermula 15 Jun 2020,” katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, orang ramai perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 hingga 3 meter untuk aktiviti statik seperti angkat berat dan larian atas treadmill.

“Manakala untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak, hoki dan ragbi penjarakan 3 hingga 5 meter perlu dipatuhi,

“Bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring, dan sukan tempur/kombat seperti karate, taekwondo, silat dan sebagainya, keputusan mesyuarat masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan,

“Bagaimanapun, ia dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa sentuhan badan (non-contact) dengan penjarakan sosial 3 hingga 5 meter antara seorang dengan seorang yang lain semasa latihan,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan sekali lagi bahawa penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan sukan masih kekal tidak dibenarkan untuk fasa ini. Ia adalah bagi mengelakkan penglibatan perhimpunan orang secara beramai-ramai

Komen
Loading...