Ikuti Kami:

Gimik Kren, Joget Lambak Warnai Konsert Tiga Dekad Siti Nurhaliza

Gimik Kren, Joget Lambak Warnai Konsert Tiga Dekad Siti Nurhaliza

Keluar daripada zon selesa dengan aksi mencabar adrenalin, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengejutkan lebih 65,000 penonton apabila muncul dari ketinggian mencecah puluhan kaki di ruang udara Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Kemunculan unik di atas sebuah kren sambil mendendangkan lagu ikonik, Purnama Merindu, menjadi pembuka tirai Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang cukup dramatik, sekali gus membuktikan kreativiti biduanita negara ini tidak pernah pudar selepas tiga dekad bergelar anak seni.

Bercakap mengenai keberanian melakukan gimik tersebut, Siti mendedahkan bahawa beliau sudah lama memendam impian untuk tampil dengan aksi sedemikian, namun terpaksa menunggu ruang dan lokasi yang benar-benar sesuai.

“Pada konsert lepas-lepas saya cuba buat ini, tapi kadang-kadang keadaan tidak mengizinkan, ada kekangan ruang dan tempat yang kurang sesuai. Jadi saya simpan sahaja impian saya itu, sampailah akhirnya saya buat di Stadium Nasional ini.

“Saya kata okey, saya tak kira, malam ini saya nak naik juga, saya nak beri hak istimewa kepada peminat-peminat saya dan kamu yang menjadi saksi kepada kenangan ini pada malam ini,” katanya ketika menyapa penonton dari atas pentas.

Walaupun kelihatan tenang dan profesional ketika berada di ruang udara stadium, penyanyi berusia 47 tahun itu mengakui perasaan gayat tetap ada ketika melakukan aksi tersebut.

“Dan malam ni, kalau ditanya gayat ke tidak? Serius saya gayat. Gayat itu biasa, sebab apa-apa pun kita kena fikirkan keselamatan kita.

“Tetapi Alhamdulillah, pasukan yang bersama-sama dengan saya malam ini menjaga saya dengan cara yang terbaik sekali. Saya lihat anda semua pun masih bersemangat lagi. Semua okey lagi? Nak lagu rancak lagi?” soalnya yang disambut dengan sorakan gemuruh peminat.

Suasana konsert terus memuncak apabila Siti mengubah stadium keramat itu menjadi pentas keraian rakyat melalui segmen ‘joget lambak’ menerusi lagu Joget Menanti Kasih dan Ya Maulai.

Malam penuh warna itu turut disuntik elemen emosi apabila Siti memberikan penghormatan khas kepada figura penting dalam kerjayanya, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah menerusi lagu Cindai.

Konsert tiga jam itu menyaksikan Siti menyampaikan 40 lagu serta berduet dengan artis jemputan seperti Noh Salleh, Hafiz Suip, dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan.

Dengan gabungan sistem bunyi yang mantap dan penataan cahaya mempesonakan, Konsert Legacy 30 bukan sahaja meraikan sejarah Siti Nurhaliza, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai penghibur pentas yang kekal relevan dalam kelas tersendiri.

Komen
Loading...