Ghea Indrawari Pukau 1,200 ‘Jiwa’ Di Konsert Solo Pertama ‘Rasi Jiwa’
- oleh MDaily Editor
- 9 May 2026 4:09 pm
Penyanyi popular Indonesia, Ghea Indrawari, membuktikan kekuatan vokalnya bukan sekadar bersandarkan angka penstriman digital apabila berjaya memukau lebih 1,200 penonton dalam konsert solo sulungnya di Malaysia, malam tadi.
Konsert bertajuk “GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu menyaksikan suasana penuh emosi dan intim, menyatukan peminat setia yang dikenali sebagai ‘Ghealways’.

Ghea dalam ucapannya mengakui berasa sangat kerdil melihat sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia yang tidak henti-henti memberikan sokongan sejak awal kerjayanya.
”Saya amat terharu dengan sokongan peminat di Malaysia dan rasa sangat sebak melihat tenaga serta kasih sayang yang anda berikan malam ini. Sejujurnya, menjelang konsert ini, saya mengalami kesukaran untuk tidur malam kerana terlalu berdebar memikirkan penerimaan peminat di sini.
”Namun, segala kegelisahan itu hilang sebaik sahaja saya melihat wajah-wajah anda semua yang hadir. Terima kasih kerana sudi meminjamkan telinga dan hati untuk muzik saya,” katanya dengan nada penuh emosi.
Tampil ringkas namun sarat dengan penghayatan, Ghea membuka tirai persembahan menerusi lagu “Rasa Cinta Ini”, sebelum meneruskan momentum dengan rangkaian lagu popularnya termasuk “Malaikat” dan “Bucketlist”.

Tanpa memerlukan gimik keterlaluan, penyanyi berusia 26 tahun itu berjaya menghidupkan jiwa setiap karyanya menerusi kejujuran emosi dan vokal yang stabil sepanjang hampir dua jam persembahan berlangsung.
Aspek teknikal seperti penataan cahaya puitis dan sistem bunyi yang kemas di Zepp KL turut memperkukuhkan lagi suasana melankolik yang dibawakan.
Antara detik paling menyentuh hati adalah sewaktu Ghea membacakan surat buat dirinya yang lebih muda sebelum menyampaikan lagu “Masa Mudaku Habis” dan “Berdamai”, yang meninggalkan suasana hening seketika di dalam dewan.
Kemuncak konsert sudah pastinya terarah kepada lagu fenomena “Jiwa Yang Bersedih”, yang menyaksikan seluruh dewan bernyanyi bersama dengan penuh perasaan, sebelum beliau melabuhkan tirai persembahan menerusi lagu “Manusia Paling Bahagia”.
Konsert anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment ini bukan sahaja merealisasikan impian Ghea untuk bertemu peminat di Malaysia, malah membuktikan bahawa muzik yang jujur mampu meninggalkan impak mendalam kepada setiap pendengar.
