Ikuti Kami:

Ghaz Abu Bakar Akui ‘Konspirasi’ Naskhah Paling Sensitif

Ghaz Abu Bakar Akui ‘Konspirasi’ Naskhah Paling Sensitif

Pengarah filem terkenal Ghaz Abu Bakar mengakui naskhah terbaharu arahannya, Konspirasi, merupakan karya paling sensitif dan mencabar sepanjang kerjayanya berikutan plot penceritaan yang menyentuh isu politik tanah air serta integriti agensi penguatkuasaan.

Ghaz berkata, filem bergenre thriller politik dan siasatan siber itu memerlukan kajian mendalam termasuk mendapatkan pandangan serta kelulusan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dan selepas proses penggambaran.

Beliau menjelaskan bahawa skrip asal filem berkenaan telah melalui proses saringan ketat bersama pegawai unit siasatan, unit forensik, termasuk bekas anggota SPRM bagi memastikan rantaian arahan (chain of command) digambarkan secara tepat.

“Namun, cabaran sebenar bermula pada peringkat penyuntingan akhir apabila kami mempersembahkan filem ini kepada Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM. Terdapat beberapa teguran yang memerlukan kami menyunting semula beberapa babak, di samping menambah adegan aksi bagi menguatkan lagi jalan cerita,” katanya kepada media pada Malam Gala filem berkenaan di GSC IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai proses kelulusan, Ghaz mendedahkan naskhah tersebut berdepan kesukaran untuk melepasi skim Wajib Tayang berikutan kelantangan dialog dan naratif yang dipaparkan dalam filem berkenaan.

“Proses Wajib Tayang mengambil masa yang agak lama kerana isu yang diketengahkan sangat sensitif, terutamanya melibatkan hal-hal politik. Saya rasa penonton belum pernah melihat mana-mana filem tempatan yang berani melontarkan dialog kritikal terhadap kepimpinan tertinggi negara seperti dalam filem ini.

“Tetapi Alhamdulillah, apabila pihak berkuasa yang menilai menonton filem ini secara keseluruhan, mereka memahami konteks naskhah ini dan menyedari bahawa jalan cerita yang dipaparkan hanyalah rekaan semata-mata,” jelas beliau.

Sementara itu, pelakon utama Dato’ Adi Putra yang memegang watak sebagai Adli (ketua pasukan elit SPRM) berkata penglibatannya dalam filem tersebut bukan sekadar memenuhi tuntutan tawaran kerja, sebaliknya didorong oleh mesej realistik yang ingin disampaikan.

Beliau menegaskan, ancaman manipulasi maklumat dan kewujudan kumpulan penyebar dayah atau cyber troopers kini menjadi realiti yang membimbangkan masyarakat, terutamanya dengan kebangkitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Apa yang dipaparkan dalam filem Konspirasi ini adalah refleksi kepada realiti sebenar hari ini. Kita tidak boleh menghalang lambakan cyber troopers mahupun teknologi AI di luar sana yang digunakan untuk menghentam kerajaan atau mengecam netizen.

“Tiada alat atau sekatan yang boleh menghentikan perkara ini melainkan kesedaran daripada masyarakat sendiri. Oleh itu, saya menerima tawaran ini kerana mahu menyampaikan mesej kesedaran tersebut melalui medium visual,” kata Adi Putra.

Konspirasi terbitan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films, dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman, dan Esma Daniel.

Filem yang mengisahkan pergolakan pasukan elit SPRM dalam menyelamatkan pelayan rahsia mengandungi data korup daripada tirai besi siber itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 21 Mei ini.