GGR Motor Perkukuh Industri EV Negara, Terima Lawatan Rasmi JPJ Wilayah Persekutuan
- oleh Mohd Indera
- 6 Sep 2025 3:11 pm

Eric Jusiang (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail (tengah) diiringi Muhammad Mussaddiq (kiri).
GGR Motor terus memperkukuh peranannya dalam industri motosikal elektrik (EV) tempatan apabila menerima kunjungan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di kilangnya di Kampung Sungai Penchala, di sini, Khamis lalu.
Lawatan itu diketuai Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Eric Jusiang, bersama 25 pegawai dan anggota bagi meninjau lebih dekat proses pemasangan, operasi serta pembangunan motosikal elektrik pertama buatan Malaysia.
Menurut Eric, JPJ melihat usaha GGR Motor sebagai langkah seiring dengan dasar kerajaan dalam memperluas penggunaan kenderaan elektrik di negara ini.
“JPJ menyokong inisiatif GGR Motor kerana ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu, malah turut membantu mencapai sasaran kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon. Lawatan ini memberi gambaran jelas bagaimana pengeluaran EV dijalankan mengikut piawaian ditetapkan,” katanya.
Kehadiran rombongan itu disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail serta Pengarah Urusan, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi.
Mussaddiq berkata, lawatan itu menjadi pengiktirafan penting kepada usaha syarikat dalam membangunkan motosikal elektrik tempatan.
“Kunjungan ini memberi keyakinan kepada kami bahawa industri EV buatan Malaysia mendapat sokongan penuh pihak berkuasa. Kami akan terus memastikan setiap motosikal yang dihasilkan menepati undang-undang dan piawaian keselamatan,” ujarnya.
Beliau menambah, model sulung GGR Motor, Lion G1, kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.
“Sehingga kini, lebih 6,000 tempahan sudah diterima dan kami sedang dalam fasa akhir untuk menyerahkan unit pertama kepada pembeli. Sambutan yang luar biasa ini membuktikan rakyat Malaysia semakin bersedia menerima motosikal elektrik sebagai pilihan mobiliti harian,” jelasnya.
Dalam sesi lawatan itu, pegawai JPJ diberi taklimat operasi selain dibawa meninjau bengkel servis, pusat jualan aksesori dan bahagian operasi syarikat.
Sementara itu, Tengku Syarif Temenggong Perlis berkata, kerjasama strategik yang dijalinkan oleh GGR Motor membuktikan ekosistem EV di Malaysia semakin matang.
“Kami bekerjasama dengan PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) bagi memperkukuh rantaian bekalan, penyelenggaraan serta latihan teknikal. Semua ini penting untuk memastikan industri EV berkembang secara menyeluruh,” katanya.
GGR Motor juga merancang membina sebuah kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung yang akan berfungsi sebagai hab pengeluaran utama bagi Lion G1 serta model-model baharu akan datang. Kilang itu dijangka mewujudkan lebih 50 peluang pekerjaan baharu khusus dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.
Sejak pelancaran Lion G1 pada Julai lalu, lebih 2,500 unit ditempah hanya dalam tempoh seminggu, sekali gus menjadi petunjuk jelas terhadap permintaan tinggi mobiliti elektrik di Malaysia.
“Kami yakin motosikal EV buatan tempatan mampu bersaing dengan produk luar kerana ia menampilkan kualiti tinggi pada harga mampu milik. Ini adalah permulaan untuk menjadikan Malaysia hab motosikal elektrik di rantau ASEAN,” kata Mussaddiq.