Ikuti Kami:

GGR Motor Perkenal EV Baharu Pacu “Go Green Revolution” Bersama Selebriti Tanah Air

GGR Motor Perkenal EV Baharu Pacu “Go Green Revolution” Bersama Selebriti Tanah Air

GGR Motor terus memperkukuh langkah dalam teknologi hijau dengan memperkenalkan motosikal elektrik (EV) terbaharu sebagai sebahagian daripada inisiatif “Go Green Revolution”.

Lebih menarik, usaha ini turut mendapat sokongan barisan artis popular tanah air yang bakal memeriahkan majlis pelancaran pada 28 Jun ini di Saloma, Kuala Lumpur.

Majlis itu akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, sebagai simbolik sokongan terhadap inovasi anak muda tempatan, khususnya lepasan institusi TVET seperti IKM Beseri dan UNIKL MFI.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, pelancaran motosikal EV ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan teknologi baharu, malah mengangkat budaya mobiliti hijau sebagai gaya hidup rakyat Malaysia.

“Kami mahu memacu kesedaran terhadap penggunaan EV dengan pendekatan lebih dekat kepada masyarakat, termasuk melibatkan artis yang berpengaruh,” katanya.

Antara selebriti yang dijangka hadir dan menyokong inisiatif ini ialah Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Cat Farish, Farid Kamil dan Bella Astillah.

Mereka bukan sekadar penyeri acara, malah sebahagiannya akan menjadi rakan kolaborasi dalam mengembangkan jenama GGR Motor.

Muhammad Mussadiq mendedahkan bahawa Johan, yang turut mengusahakan jenama makanan “Itik ke Ayam?”, bakal terlibat dalam pembukaan cawangan kedai konsep bersama artis terpilih selepas pelancaran nanti.

Acara pelancaran bakal berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang, merangkumi sesi pameran, jaringan bersama pelabur, media serta uji tunggang motosikal elektrik.

Pada sebelah malam, pelbagai aktiviti komuniti dan hiburan turut dijadualkan bagi mendekatkan lagi konsep EV kepada orang ramai.

Sebagai menyemarakkan lagi sokongan kepada gaya hidup hijau, GGR Motor turut menaja dua unit motosikal elektrik LionG1 untuk dimenangi peminat semasa Konsert AMK Indie 2025 di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 dan 27 Julai depan.

“Penajaan ini adalah salah satu cara kami menyampaikan mesej perubahan dan menyemai minat terhadap penggunaan EV secara meluas,” tambahnya.

Untuk rekod, Bella Astillah pernah menerima skuter elektrik daripada GGR Motor dalam satu program bersama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), yang secara tidak langsung memberi publisiti tinggi kepada jenama berkenaan.

Muhammad Mussadiq turut memaklumkan bahawa GGR Motor telah menyatakan hasrat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk hadir merasmikan pelancaran motosikal ini, sekali gus menandakan komitmen nasional dalam agenda mobiliti hijau.

“Kami yakin pendekatan kolaborasi dengan selebriti tempatan mampu membawa gelombang baharu dan menjadikan EV bukan sekadar produk teknologi, tetapi budaya gaya hidup yang lebih lestari,” ujarnya.

GGR Motor kini dilihat sebagai antara pelopor dalam industri automotif tempatan yang bukan sahaja menekankan inovasi, tetapi juga menjadikan kelestarian sebagai teras utama pembangunan jenama.

Komen
Loading...