Ikuti Kami:

GGR Motor Bawa Revolusi EV Tempatan Dengan Pantera R1 dan R2

GGR Motor Bawa Revolusi EV Tempatan Dengan Pantera R1 dan R2

Syarikat automotif tempatan, GGR Legacy (M) Sdn Bhd atau dikenali sebagai GGR Motor, melakar sejarah baharu apabila memperkenalkan prototype motosikal elektrik (EV) terbaharu mereka, Pantera R1 dan R2, yang direka dan dipasang sepenuhnya di Malaysia.

Model ini bukan sekadar motosikal elektrik biasa, sebaliknya menjadi motosikal EV jarak jauh pertama buatan tempatan, dengan keupayaan perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, berkata pelancaran Pantera R1 dan R2 membuktikan kemampuan tenaga muda tempatan menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi setanding jenama antarabangsa.

“Tujuan utama pelancaran Pantera R1 dan R2 adalah untuk melahirkan motosikal elektrik pertama buatan Malaysia yang boleh mencapai jarak 300 kilometer bagi satu cas penuh. Ia menjadi penanda aras baharu dalam industri EV tempatan,” katanya pada majlis MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025) di Bukit Jalil.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, dan turut dihadiri Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir, Pengarah PMH Motor Sdn. Bhd., Mohd Izwan Mazlan, Rakan Strategik GGR Motor, Prof. Dr Nizar Abd Jalil, serta dua selebriti terkenal, Johan dan Ajak Shiro, yang turut menjadi rakan kongsi perniagaan GGR Motor.

Musaddiq menjelaskan, kedua-dua model Pantera menggunakan dua unit bateri berkapasiti 73.8V / 116Ah, dengan sokongan sistem pengecasan pantas (fast charging) yang membolehkan satu bateri dicas penuh dalam hanya 30 minit.

“Kelebihan utama Pantera ialah sistem baterinya yang fleksibel. Pengguna boleh mengecas di rumah atau menukar bateri di stesen swap. Bayarannya murah, mudah dan menjimatkan masa,” katanya.

Pantera R1 dan R2 dipacu oleh motorhub berkuasa 5,000kw serta Votol Controller, dan mampu mencapai kelajuan maksimum antara 110 hingga 150 km/jam. Selain itu, ia mempunyai kos penyelenggaraan hampir sifar kerana tidak memerlukan minyak atau servis enjin seperti motosikal konvensional.

“Kami mahu buktikan bahawa kenderaan elektrik bukan hanya mesra alam, tetapi juga menjimatkan kos jangka panjang untuk rakyat,” ujarnya.

Musaddiq berkata, model baharu ini direka khas untuk rider e-hailing dan usahawan mikro yang ingin mengurangkan kos operasi harian.

“Dengan beralih kepada motosikal elektrik, rider e-hailing boleh jimat sehingga 60 peratus daripada kos harian mereka. Ini bukan sekadar kenderaan, tetapi peluang ekonomi baharu,” jelasnya.

Untuk memudahkan pemilikan, GGR Motor turut memperkenalkan skim pembiayaan mudah dengan deposit rendah serta bayaran ansuran fleksibel. Walaupun harga rasmi belum diumumkan, beliau memberi jaminan harga jualan akan berada di bawah RM10,000, menjadikannya mampu milik untuk pengguna tempatan.

Pelancaran Pantera R1 dan R2 akan dijalankan dalam dua fasa: Fasa pertama (Oktober–Disember 2025) membabitkan pembinaan swapping station dan charging point di kawasan tumpuan utama seluruh negara, manakala fasa kedua (bermula Januari 2026) membuka pra-tempahan kepada komuniti e-hailing dan orang ramai.

Menurut Musaddiq, GGR kini dalam rundingan dengan beberapa syarikat korporat dan swasta seperti 99 Speedmart, ZUS Coffee dan pengendali stesen minyak bagi mewujudkan rangkaian swap station di seluruh negara.

“Kami mahu membina ekosistem EV yang menyeluruh. Lagi banyak syarikat swasta terlibat, lagi banyak stesen swap dapat dibuka. Ini bukan projek satu syarikat, tetapi usaha membina ekosistem negara,” katanya.

Selain itu, GGR turut memperkenalkan konsep ‘Subscription Swap Station’, iaitu model langganan bagi pengusaha tempatan yang mahu membuka stesen pertukaran bateri di bawah jenama GGR Motor.

“Melalui konsep ini, pengguna dapat menukar bateri dengan mudah, manakala pengusaha menerima komisen bagi setiap pertukaran bateri, satu bentuk peluang pendapatan baharu,” katanya.

Musaddiq turut berkongsi kejayaan model terdahulu, Lion G1, yang terjual lebih 8,000 unit, sekali gus membuktikan pasaran motosikal elektrik di Malaysia semakin berkembang.

“Lion G1 membuktikan potensi pasaran EV sangat besar. Pantera R1 dan R2 akan memperkukuh kedudukan GGR sebagai peneraju motosikal elektrik tempatan,” katanya.

Bagi memastikan sokongan selepas jualan, alat ganti akan tersedia di supermarket GGR Motor di Sungai Penchala, Damansara, manakala PMH Motor di Alor Setar dilantik sebagai Master Dealer bagi pasaran Utara.

Menjelang 2026, GGR akan membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menjadi pengedar sah motosikal EV keluarannya serta merancang menembusi pasaran Asia selepas ekosistem domestik kukuh.

“Kami tidak mahu hanya jual motosikal, tetapi mahu membina masa depan mobiliti hijau Malaysia. Dengan sokongan kerajaan dan sektor swasta, GGR yakin Malaysia mampu menjadi hab EV serantau,” tegas Musaddiq.

GGR turut memperkukuh jenamanya melalui kerjasama dengan selebriti tempatan seperti Farid Kamil, Johan, dan Ajak Shiro sebagai rakan kongsi francais rasmi.

Komen
Loading...