Filem seram terbaharu dari Indonesia, Getih Ireng, kini menemui penonton Malaysia dengan menawarkan pengalaman mistik yang sarat emosi dan mendalam.
Dihasilkan oleh Hitmaker Studios, Legacy Pictures dan Masih Belajar Project, naskhah ini disifatkan antara karya seram paling dinantikan tahun ini kerana gabungan unik elemen spiritual, cinta dan pengorbanan yang mampu membuat penonton meremang bulu roma.
Diarahkan oleh Tommy Dewo, Getih Ireng mengisahkan pasangan suami isteri, Pram dan Rina, yang berdepan sumpahan kuno dikenali sebagai Getih Ireng, iaitu ilmu hitam yang menyerang darah serta keturunan.
Menurut Tommy Dewo, filem ini bukan sekadar menampilkan kisah makhluk halus atau ilmu hitam semata-mata, tetapi turut menggali makna kehilangan dan kekuatan cinta yang diuji oleh kegelapan.
“Saya mahu penonton bukan sekadar takut, tetapi turut merasai kedalaman emosi di sebalik kisah ini. Getih Ireng menggambarkan bagaimana kegelapan mampu menghancurkan sesuatu yang paling suci, iaitu cinta dan harapan,” katanya.

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Titi Kamal, Darius Sinathrya dan Sara Wijayanto, filem ini menyerlah melalui lakonan penuh emosi dan penghayatan mendalam.
Titi Kamal menyerlah dengan lakonan penuh kelembutan dan derita sebagai Rina, manakala Darius tampil kuat sebagai suami yang berjuang melawan takdir.
Getih Ireng tampil sebagai filem seram yang matang dan sarat emosi, Tommy Dewo berjaya menggabungkan elemen seram dengan kisah kemanusiaan yang menyentuh hati, disertai sinematografi suram dan rekaan bunyi yang menyeramkan.
Keberanian filem ini menampilkan tema santet serta pengorbanan keluarga melalui pendekatan moden dan dramatik wajar dipuji, menjadikannya lebih daripada sekadar kisah seram konvensional.

Sinopsis
Getih Ireng mengisahkan pasangan suami isteri Rina (Titi Kamal) dan Pram (Darius Sinathrya) yang hidup mereka mula diganggu selepas mengalami keguguran berulang kali. Mereka akhirnya menyedari bahawa kejadian tersebut berpunca daripada santet Getih Ireng, ilmu hitam yang menyerang darah dan keturunan, berpunca daripada dendam masa silam keluarga Pram.
Diedarkan oleh Antenna Entertainment, Getih Ireng akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 November 2025.




