Ikuti Kami:

Gerakan Militan Asing Akan Dihapus Secara Tuntas – Menteri Dalam Negeri

Gerakan Militan Asing Akan Dihapus Secara Tuntas – Menteri Dalam Negeri

Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang elemen ekstremis atau gerakan militan asing yang cuba menjadikan negara ini sebagai tempat perlindungan, pusat transit, atau pangkalan operasi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Penegasan itu dibuat susulan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi keselamatan berskala besar bermula 24 April lalu, yang menyaksikan penahanan 36 warganegara Bangladesh di Selangor dan Johor kerana disyaki terlibat dalam jaringan gerakan militan yang membawa fahaman radikal berideologi Islamic State (IS).

“Tindakan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani untuk melindungi keselamatan negara daripada sebarang elemen yang boleh mengancam kedaulatan dan ketenteraman awam. Ia juga mencerminkan kecekapan dan profesionalisme PDRM dalam menangani ancaman keganasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah yang ditahan, lima individu telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru mengikut Bab VIA Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan keselamatan; 15 individu telah diusir dari negara ini; manakala 16 lagi sedang disiasat lanjut.

Siasatan Pasukan Cawangan Khas PDRM mendedahkan bahawa kumpulan ini telah mengindoktrinasikan komuniti mereka dengan fahaman ekstremis, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan cuba menggugat kerajaan sah di negara asal mereka.

Saifuddin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi medan subversif bagi sebarang agenda militan asing dan Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan serta kerjasama antara agensi keselamatan dalam dan luar negara.

“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” tegasnya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan bersepadu antara agensi penguat kuasa dan kerjasama antarabangsa akan memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.

Komen
Loading...